Harga sewa tapak bazar Ramadan RM10,000 itu 'ali baba' - Exco Kelantan

Hilmi (hadapan) meninjau persiapan awal Madinah Ramadan di Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu pada Isnin.
Hilmi (hadapan) meninjau persiapan awal Madinah Ramadan di Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu pada Isnin.
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan menyifatkan sewa tapak bazar Ramadan bernilai RM10,000 yang dikenakan sepanjang tempoh sebulan itu bersifat 'ali baba'.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Hilmi Abdullah berkata, hal ini kerana bayaran sewa tapak kepada peniaga di negeri ini hanya sekitar RM10 hingga RM20 sehari sahaja.

"Menjadikan ia mahal apabila kita keluarkan lesen kepada sesetengah pihak dan kemudian mereka sewakan pada orang lain.

"Sebab itulah sehingga mencecah ribuan ringgit. Sedangkan kami bukan penganjur bazar Ramadan tetapi hanya keluarkan lesen," katanya semasa sidang akhbar pada Isnin.

Sebelum itu beliau meluangkan masa membuat tinjauan persiapan awal Madinah Ramadan di Stadium Sultan Muhammad IV di sini.

Persiapan sedang giat dilakukan bagi menyambut Ramadan pada Isnin.
Persiapan sedang giat dilakukan bagi menyambut Ramadan pada Isnin.

Menurut beliau, bagaimanapun pihaknya memandang serius perkara tersebut dan akan melakukan pemantauan terhadap peniaga di bazar Ramadan.

Ujarnya, jika tertangkap pihaknya tidak teragak-agak untuk membatalkan lesen yang diberikan.

Artikel Berkaitan:

Hilmi memberitahu, tindakan itu supaya individu terlibat sedar akan kesilapan yang dilakukan.

Katanya, setakat ini kerajaan negeri tidak menerima aduan lagi berkenaan perkara tersebut.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, sepanjang Ramadan ini dianggarkan hampir 200 bazar dibuka di seluruh negeri.

"Peniaga diingatkan supaya sentiasa peka dengan menjaga kebersihan premis serta makanan sepanjang tempoh berkenaan," katanya.