Kebakaran: Mydin Manjoi ditutup sementara bermula hari ini

Pasar raya besar Mydin di Manjoi yang terbakar pada Ahad ditutup sementara bermula Isnin sehingga tarikh yang akan dimaklumkan kelak.Foto Bernama
Pasar raya besar Mydin di Manjoi yang terbakar pada Ahad ditutup sementara bermula Isnin sehingga tarikh yang akan dimaklumkan kelak.Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Pasar raya besar Mydin di Manjoi yang terbakar pada Ahad ditutup sementara bermula Isnin sehingga tarikh yang akan dimaklumkan kelak, menurut Mydin Mohamed Holdings Bhd.

Dalam kenyataan di laman Facebook pada Isnin, Mydin memaklumkan sebagai alternatif pelanggan boleh berkunjung ke cawangan Mydin Meru Raya atau Mydin Gopeng.

"Segala kesulitan amat dikesali dan terima kasih atas kerjasama anda. Sebarang pertanyaan boleh hubungi talian Khidmat Pelanggan di talian 1-300-30-8786," menurut kenyataan itu.

Pada masa sama pihak pengurusan memaklumkan Mydin Manjoi akan kembali beroperasi setelah mendapat kebenaran dan kelulusan pihak bomba.

Pasar raya itu dilaporkan terbakar pada 7.09 malam Ahad, tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian.

Kebakaran di tingkat atas pasar raya itu berjaya dikawal setakat tengah malam tadi, namun bomba masih dalam proses memadamkan api sepenuhnya.

Sementara itu Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad ketika dihubungi berkata, pihaknya masih melaksanakan operasi memadamkan sisa kebakaran.

"Masih ada tompokan-tompokan api di kawasan kebakaran...itu yang kita nak selesaikan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, 30 anggota dan pegawai terlibat dalam operasi memadamkan sisa kebakaran di premis itu pagi ini, selain 10 anggota pasukan forensik. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28