Deleum kukuh agenda lawan rasuah dengan Rasuah Busters

Kakitangan dan Rakan Niaga Deleum pada Majlis Sambutan Hari Integriti dan Lafaz Ikrar Bebas Rasuah yang berlangsung di sebuah hotel baru-baru ini.
Kakitangan dan Rakan Niaga Deleum pada Majlis Sambutan Hari Integriti dan Lafaz Ikrar Bebas Rasuah yang berlangsung di sebuah hotel baru-baru ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR- Deleum Berhad (Deleum) yakin kerjasama strategik dengan Rasuah Busters dapat memperkasakan syarikat itu dalam memerangi rasuah sekali gus dapat mewujudkan budaya integriti dan ketulusan dalam kalangan pekerja.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Deleum, Ramanrao Abdullah berkata, kerjasama itu juga nanti bakal membawa manfaat yang besar kepada kedua-dua pihak.

Menurutnya lagi, usaha bersama itu memperlihatkan kesungguhan syarikat Deleum dalam membawa agenda menentang rasuah sebagai salah satu polisi utama syarikat.

"Kami sangat gembira dengan usaha sama ini, kita berkongsi persamaan dalam agenda melawan penyelewengan dan rasuah, kerjasama ini dilihat akan membawa agenda integriti dan kebersamaan ini akan membawa lebih banyak kesedaran tentang bahaya rasuah dan saya juga yakin perubahan yang baik akan berlaku," katanya kepada Sinar Harian dalam wawancara eksklusif baru-baru ini.

Ramanrao Abdullah.
Ramanrao Abdullah.

Beliau ditemui ketika menghadiri Hari Integriti Deleum bersama rakan niaga yang berlangsung di sebuah hotel di sini untuk menegaskan komitmen syarikat terhadap amalan tadbir urus yang baik dan amalan perniagaan yang beretika.

Dalam pada itu menyentuh mengenai agenda syarikat dalam menerapkan nilai integriti dan membanteras rasuah, Ramanrao berkata, syarikatnya sudah mengamalkan beberapa pendekatan antaranya, sebelum memulakan sebarang mesyuarat akan diambil sedikit masa untuk berkongsi mengenai pelbagai isu-isu penting termasuklah integriti.

"Kita akan mulakan mesyuarat dalam lima hingga 10 minit untuk bercakap tentang budaya integriti, berkongsi kesedaran tentang kesan rasuah dan sebagainya.

Artikel Berkaitan:

"Selain daripada itu bagi menunjukkan komitmen kami dalam membawa agenda ini, kami turut mengambil beberapa langkah lain antaranya menerusi lafaz Ikrar Bebas Rasuah (IBR) anjuran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan menerusi penganjuran Hari Integriti Deleum bersama rakan niaga," katanya.

Deleum menyambut Hari Integriti 2024 sempena penganugerahan pensijilan Sistem Pengurusan Anti Rasuah ISO37001:2016 (ABMS).

Ia menunjukkan komitmen berterusan Deleum dalam mewujudkan persekitaran adil, bersih dan bebas rasuah serta memberikan perkhidmatan berkualiti dalam aktiviti perniagaan harian mereka.

Sementara itu Ramanrao juga menyifatkan kebersamaan syarikat bersama dengan 580 rakan gabungan Rasuah Busters yang lain akan menjadikan agenda melawan rasuah di negara ini menjadi semakin kuat dan inklusif.

"Bila kita bersatu ia akan menjadi lebih kukuh, agenda melawan rasuah tidak akan menjadi sekiranya hanya bersifat sendirian, ia akan menjadi kuat jika semakin ramai menyatakan hasrat kebersamaan," katanya lagi.

Deleum Berhad merupakan sebuah syarikat perkhidmatan dalam industri gas dan minyak Malaysia dan disenaraikan di pasaran utama Bursa Malaysia Securities Berhad.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28