Pura-pura mahu pergi memancing, elak dicekup AADK

Tian Soon (kiri) dan Azli melihat barang milik penagih selepas melakukan serbuan di sebuah ladang kelapa sawit berhampiran Bukit Dahlia, di Pasir Gudang pada Ahad.
Tian Soon (kiri) dan Azli melihat barang milik penagih selepas melakukan serbuan di sebuah ladang kelapa sawit berhampiran Bukit Dahlia, di Pasir Gudang pada Ahad.
A
A
A

PASIR GUDANG - Seorang lelaki yang berkelakuan mencurigakan memberi alasan mahu pergi memancing dalam ladang kelapa sawit berhampiran Bukit Dahlia di sini bagi mengelak ditahan penguat kuasa Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Johor dalam Ops Hot Spot pada Ahad.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon berkata, bagaimanapun lelaki berusia 40-an itu yang tidak membawa sebarang kelengkapan memancing tetap ditahan dalam operasi bersepadu tersebut melibatkan AADK dan polis.

"Lelaki berkenaan berpura-pura mahu pergi memancing tetapi tindakannya gagal mengaburi mata pihak berkuasa.

"Lelaki itu antara kira-kira 25 individu yang ditahan dalam dua operasi berasingan di sekitar daerah ini hari ini," katanya kepada pemberita selepas operasi tersebut.

Turut hadir, Pengarah AADK Johor, Azli Ubin.

Beliau berkata, seorang lagi lelaki terjatuh dari motosikal apabila cuba melarikan diri daripada ditahan penguat kuasa AADK ketika menuju ke 'port' dadah dalam kawasan kelapa sawit tersebut.

Katanya, Ops Hot Spot dilakukan dalam kawasan ladang kelapa sawit berkenaan yang dikesan sebagai port baharu menghisap dadah manakala Ops Sepadu pula dilakukan dari rumah ke rumah.

Menurutnya, menerusi Ops Hot Spot, seramai 17 individu ditahan terdiri daripada 16 lelaki dan seorang wanita tempatan termasuk seorang warga Indonesia manakala Ops Cegah pula lapan lelaki tempatan ditahan.

Artikel Berkaitan:

"Semua yang ditahan itu semuanya berusia antara 20 sehingga 60 tahun.

"Mereka akan dibawa ke pejabat AADK untuk tujuan menjalani pemeriksaan urin seterusnya memohon permohonan reman sebelum proses pendakwaan di mahkamah.

"Kerajaan negeri memandang serius isu penyalahgunaan dadah dan tidak akan berkompromi dengan individu terlibat.

"Kita akan terus menjalankan penguatkuasaan dari masa ke masa," katanya.

Beliau berkata, AADK Johor menyasarkan untuk menghijaukan 17 mukim yang dikenal pasti sebagai Kawasan Berisiko Tinggi (KBT) supaya bebas daripada aktiviti penyalahgunaan dadah.

Jelasnya, daripada 17 KBT itu, sebahagian daripadanya telah dihijaukan antaranya di Plentong, Johor Bahru; Pogoh dan Jabi di Segamat selain Mersing, Muar, Kulai serta Batu Pahat.

"KBT ini merupakan kawasan merekodkan aktiviti dadah yang aktif baik daripada kes baharu atau yang berulang.

"Jadi, kita letak sasaran untuk hijaukan kawasan ini pada tahun ini.

"Bagi mencapai hasrat itu, kerajaan negeri memperuntukkan RM1.13 juta kepada AADK supaya dapat mengadakan tindakan penguatkuasaan secara kerap, pendidikan pencegahan secara aktif bersama rakan strategik, program kesedaran dan sebagainya," katanya.

Menurutnya, sejak awal tahun hingga Rabu, seramai 377 individu yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah ditahan dalam operasi bersepadu yang dijalankan di seluruh negeri ini.

Tambahnya, daripada siri tangkapan yang dilakukan, majoriti individu yang ditahan itu adalah lelaki tempatan berusia lingkungan 18 hingga 45 tahun.

"Pada tahun lalu pula, seramai 1,424 'mat gian' berjaya ditahan menerusi siri serbuan yang dilakukan di lokasi yang dikenal pasti," ujar Azli.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28