23,767 murid Tahun Satu mula bersekolah di Terengganu

Sesi persekolahan hari pertama murid Tahun Satu Sekolah Kebangsaan (SK) Ladang berjalan lancar dan teratur.
Sesi persekolahan hari pertama murid Tahun Satu Sekolah Kebangsaan (SK) Ladang berjalan lancar dan teratur.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Sesi persekolahan 2024/2025 di Terengganu diwarnai dengan keceriaan apabila seramai 23,767 murid Tahun Satu di 352 buah sekolah rendah seluruh Terengganu mula bersekolah pada Ahad.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Jelani Sulong berkata, hari pertama sesi persekolahan di seluruh negeri itu berjalan lancar tanpa sebarang masalah.

Menurutnya, selain murid Tahun Satu, seramai 21,756 pelajar Tingkatan Satu juga mendaftar masuk di 154 sekolah menengah di seluruh negeri itu.

"Kita bersyukur kerana sesi pendaftaran murid Tahun Satu dan pelajar Tingkatan Satu yang berlangsung beberapa hari lalu berjalan lancar.

"Jadi proses persekolahan kita pada hari pertama pagi ini teratur dan lancar," katanya ketika ditemui pemberita di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Serada di sini pada Ahad.

Dua beradik yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Ladang merakam gambar pada hari pertama sesi persekolahan 2024/2025.
Dua beradik yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Ladang merakam gambar pada hari pertama sesi persekolahan 2024/2025.

Beliau berkata, seramai 134,380 murid sekolah rendah telah memulakan persekolahan mereka hari ini di mana murid Tahun Dua direkodkan seramai (22,615 orang), Tahun Tiga (22,757), Tahun Empat (21,912), Tahun Lima (21,730) dan 21,599 murid Tahun Enam.

Bagi aliran sekolah menengah pula, seramai 100,409 pelajar memulakan persekolahan hari pertama mereka iaitu 21,303 pelajar Tingkatan Dua, Tingkatan Tiga (20,612), Tingkatan Empat (19,325) dan Tingkatan Lima (17,413).

Artikel Berkaitan:

Tinjauan di beberapa sekolah mendapati kebanyakan murid Tahun Satu begitu bersemangat dan teruja untuk memulakan sesi persekolahan kali ini.

Mereka yang ditemani ibu bapa masing-masing cerita kerana berjumpa rakan baharu di kelas masing-masing.

Murid Tahun Satu dibantu untuk ke kantin sekolah ketika tinjauan di Sekolah Kebangsaan (SK) Ladang di Kuala Terengganu.
Murid Tahun Satu dibantu untuk ke kantin sekolah ketika tinjauan di Sekolah Kebangsaan (SK) Ladang di Kuala Terengganu.

354,771 murid mulakan sesi persekolahan di Kedah

ALOR SETAR - Seramai 354,771 murid di 752 sekolah rendah dan sekolah menengah memulakan sesi persekolahan di seluruh Kedah pada Ahad.

Pengarah Pendidikan Negeri Kedah, Ismail Othman berkata, jumlah tersebut melibatkan pecahan seramai 200,793 murid di 548 sekolah rendah, manakala 153,918 murid pula di 204 sekolah menengah.

Menurutnya, seramai 31,110 murid memasuki Tahun Satu dan 31,090 murid pula memulakan pelajaran mereka di Tingkatan Satu.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sultanah Bahiyah, Alor Setar kelihatan ceria pada hari pertama persekolahan pada Ahad.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sultanah Bahiyah, Alor Setar kelihatan ceria pada hari pertama persekolahan pada Ahad.

“Setakat ini, semua sesi persekolahan di Kedah berjalan dengan lancar dengan kekuatan guru seramai 30,259 guru di 752 sekolah.

“Pada minggu pertama seperti arahan Kementerian Pendidikan, tidak ada sesi pembelajaran dan pengajaran bagi mewujudkan suasana sekolah yang ceria, selamat, bermakna dan terancang.

“Guru-guru akan melakukan aktiviti yang menyeronokkan, memberikan impak pada murid-murid dan mereka akan seronok untuk datang ke sekolah pada hari berikutnya,” katanya selepas melawat Sekolah Menengah Kebangsaan Sultanah Bahiyah di sini, pada Ahad.

Jelas Ismail, 13,468 murid prasekolah juga memulakan sesi persekolahan di 446 sekolah dengan melibatkan 623 kelas.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28