‘Saya jatuh bangun banyak kali, tapi sabar pasti ada ganjarannya’

Wawa Zainal kini boleh tersenyum bangga dengan tertubuhnya empayar Wawa Cosmetics pada 2018.
Wawa Zainal kini boleh tersenyum bangga dengan tertubuhnya empayar Wawa Cosmetics pada 2018.
A
A
A

WAWA Zainal, satu nama yang tidak asing bagi peminat seni tanah air, namun peralihan kerjaya daripada pelakon kepada usahawan membawa perubahan yang cukup besar bagi anak jati Sabah itu.

Wanita penuh pesona itu mencipta fenomena sebagai anak seni yang mengukir kejayaan tersendiri dalam dunia perniagaan sekali gus menjadi inspirasi kepada kaum wanita.

Daripada ‘zero‘ pengetahuan dalam bidang bisnes, akhirnya beliau kini boleh tersenyum bangga dengan tertubuhnya empayar Wawa Cosmetics pada 2018.

Bermula dengan jualan Wawa Soft Lens, kemudiannya beralih kepada produk kosmetik, sambutan hangat menjulang adrenalin wanita hebat itu untuk terus berusaha gigih.

Ternyata percaturan ibu kepada empat cahaya mata, Ahmad Fakhruddin Attar, Hayla Maghfiratul Adzkiyaa, Ayya Soffya dan Muhammad Fahri beralih bidang, satu keputusan yang tepat.

Satu persatu kejayaan dikutip pemilik nama sebenar Nur Hawa Zainal Abidin.

“Saya tidak pernah membayangkan bakal meraih segala impian yang sebelum ini hanya sekadar angan-angan.

“Memiliki kediaman sendiri, kereta idaman, meraih jualan jutaan ringgit dan paling membanggakan apabila dapat membantu wanita lain untuk mengubah nasib mereka,“ ungkap isteri kesayangan Aeril Zafril itu.

Artikel Berkaitan:

Mengakui liku-liku perjalanan yang perlu direntas tidak semudah mata kasar.

“Jatuh bangun banyak kali, kena tipu beratus ribu apabila produk ‘tak jalan‘ itu perkara biasa.

“Itulah yang menguatkan diri saya sehingga kini. Sebab itu, untuk sesiapa sahaja terutama kaum Hawa, kena percaya dengan proses, sabar dan pasti ada ganjarannya,“ ulasnya.

Ditanya, siapakah idola beliau, ini jawapan jelitawan berusia 32 tahun itu: “Mereka (wanita) figura hebat dan kuat serta multitasking. Mampu melakukan dua pekerjaan dalam satu masa.

“Biarpun memiliki sifat-sifat kelembutan, namun wanita cukup kuat kerana itu saya mengidolakan kaum sendiri yang sentiasa memberi semangat dan inspirasi apabila saya ‘down‘,“ ungkap Wawa.

Melengkapi rencah perbualan, empunya diri menitipkan pesanan ringkas kepada kaum wanita.

“Saya tahu wanita ramai yang penat berjuang, nak mengalah. Kena ingat, apa yang kita lakukan akan ada ganjaran ‘di sana‘.

“Segala apa yang kita lakukan bukan untuk diri sendiri, tetapi untuk yang tercinta. Teruslah kuat, kuat mengejar cita-cita, kuat untuk menjadi wanita yang hebat,“ ujar Wawa.

Sisipan khas Sinar Ahad sempena Hari Wanita Antarabangsa 2024 yang menampilkan 10 Wanita Inspirasi Malaysia.
Sisipan khas Sinar Ahad sempena Hari Wanita Antarabangsa 2024 yang menampilkan 10 Wanita Inspirasi Malaysia.

- INFO

Nama: Nur Hawa Zainal Abidin

Nama panggilan: Wawa Zainal

Jawatan: Pengarah syarikat Respected Citizen Sdn Bhd

Pencapaian: Malaysia Superbrands Award (2024)

Nona Superwoman Award (2023)

The Promosing Brand Award Annems Leadership (2023)

The 100 Most Influential Young Entrepreneurs 2018

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28