Petron, PayNet anjur peraduan ‘Fuel Up and Sweep with MyDebit’

Sebahagian daripada peserta peraduan kempen ' ‘Fuel Up and Sweep with MyDebit’di pasar raya terkemuka di sini pada Jumaat. Foto Petron Malaysia.
Sebahagian daripada peserta peraduan kempen ' ‘Fuel Up and Sweep with MyDebit’di pasar raya terkemuka di sini pada Jumaat. Foto Petron Malaysia.
A
A
A

SUBANG JAYA - [DIKEMAS KINI] Petron Malaysia dengan kerjasama Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) menganjurkan kempen ‘Fuel Up and Sweep with MyDebit’ bagi menghargai dan memberikan peluang kepada pelanggan setia untuk memenangi barangan runcit bernilai sehingga RM200,000.

Pengurus pemasaran Petron Malaysia, Danny Chen berkata, ia merupakan antara usaha pihaknya menyahut seruan kerajaan untuk bergerak ke arah digitalisasi dan pembayaran tanpa tunai.

Malah menurut beliau, Petron turut melaksanakan inisiatif membuka kaunter pembayaran dengan hanya menggunakan kad tanpa tunai di setiap stesen minyak seluruh negara.

“Ia mudah digunakan, proses cepat dan orang ramai boleh menebus ganjaran mata ‘Petron Miles’ di pam minyak berdekatan.

“Kami juga teruja dengan kerjasama dua pihak ini yang sentiasa menjayakan kempen 'Fuel Up and Sweep with MyDebit' setiap tahun,” katanya pada Jumaat.

Kempen dan peraduan tersebut bermula pada 1 September hingga 30 November tahun lalu yang mana seramai 150 pemenang diberikan ganjaran ‘Petron Miles’ sebanyak RM300 seorang serta berpeluang memenangi 60 hadiah utama seperti barangan keperluan rumah.

Antara enam lokasi terlibat ialah di pasar raya terkemuka di Pulau Pinang, Johor, Pahang, Perak, Kelantan dan diakhiri dengan Selangor.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Komersial PayNet, Gary Yeoh memaklumkan, kempen selama tiga bulan itu memperoleh lebih daripada 9 juta transaksi dan peningkatan sebanyak empat peratus produk pasaran.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, pihaknya berharap agar ganjaran yang diberikan kepada pemenang bertuah kali ini dapat menggalakkan orang ramai di luar sana untuk turut menggunakan kad ATM MyDebit bagi tujuan pembelian barangan dan bahan api.

“Ia tidak hanya memudahkan ketika mengisi minyak, tetapi juga meminimumkan risiko kehilangan wang yang dikendalikan pekerja stesen.

“Kami amat berterima kasih kepada Petron atas sokongan yang tidak pernah putus dalam menjayakan kempen ini sekali gus memacu perubahan ke arah dunia tanpa tunai,” ujarnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28