PayNet, Ant Group bekerjasama lancar pembayaran digital rentas sempadan

Farhan (tiga dari kiri) bersalaman dengan Feagin pada majlis pelancaran kerjasama pembayaran digital rentas sempadan mereka yang diadakan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Farhan (tiga dari kiri) bersalaman dengan Feagin pada majlis pelancaran kerjasama pembayaran digital rentas sempadan mereka yang diadakan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
A
A
A

[DIKEMAS KINI] PAYMENTS Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) dan Ant Group bekerjasama melancarkan pembayaran digital rentas sempadan bagi membolehkan pelancong dari lapan negara menggunakan DuitNow QR PayNet di Malaysia.

Kerjasama itu sekali gus dapat meningkatkan pelancongan antarabangsa dan perdagangan di antara negara-negara ini.

PayNet dalam satu kenyataan berkata, pelancong dengan e-wallet yang disokong oleh Alipay iaitu Alipay (China), AlipayHK (Hong Kong SAR), HelloMoney oleh AUB (Filipina), Hipay (Mongolia), MPay (Macau SAR), Naver Pay (Korea Selatan), Toss Pay (Korea Selatan), dan TrueMoney (Thailand) kini boleh menikmati keselesaan melancong tanpa tunai ke Malaysia.

Menurut kenyataan itu, mereka juga boleh membuat pembayaran digital dengan mudah dengan mengimbas DuitNow QR PayNet di rangkaian lebih daripada 1.8 juta lokasi pembayaran di seluruh negara.

“DuitNow QR adalah piawai QR Kebangsaan Malaysia yang dioperasikan oleh PayNet, dan ia membolehkan peniaga di Malaysia menerima pembayaran masa nyata dari pelanggan bank dan pengendali e-wallet yang berbeza dari negara-negara lain.

“Lebih banyak rakan pembayaran Alipay sedang dalam perancangan dan akan dimungkinkan secara beransur-ansur di Malaysia.

“Hubungan saling menerima untuk membolehkan pengguna DuitNow QR di Malaysia membuat pembayaran di peniaga global Alipay, dijangkakan akan berlangsung secara beransur-ansur bermula dari tahun 2024,” jelas kenyataan itu pada Rabu.

Kenyataan itu memaklumkan, ekosistem peniaga Alipay kini termasuk puluhan juta peniaga di lebih daripada 50 pasaran.

Artikel Berkaitan:

“Kerjasama ini dimeterai dengan memorandum persefahaman pada Ogos tahun ini antara Ant Group, pengendali Alipay, dan PayNet, pengendali DuitNow QR,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Kumpulan PayNet, Farhan Ahmad berkata, dengan kerjasama mereka bersama Ant Group menunjukkan terbentuknya Laluan Sutera baru yang dikuasai oleh interoperabiliti pembayaran rentas sempadan.

“Perniagaan dalam ekosistem DuitNow QR kini dapat mengakses pelancong dari lapan lagi negara dengan cara yang efisien, lancar, dan selamat, memperkuat perdagangan dan perniagaan.

“Kerjasama ini tepat pada masanya juga kerana industri pelancongan Malaysia kini kembali kepada trend pertumbuhan stabil dan akan lebih disokong oleh ‘Visit Malaysia Year’ pada tahun 2026,” kata Farhan.

Bagi Naib Presiden Kanan Ant Group dan Ketua Perkhidmatan Pembayaran Mudah Alih Rentas Sempadan Alipay, Douglas Feagin berkata, kerjasama itu juga akan melibatkan inisiatif bersama untuk pemasaran digital bertujuan untuk meningkatkan penjenamaan perniagaan dalam e-wallet pengguna.

“Kedua-dua pihak juga akan bekerjasama dalam penyelesaian perjalanan pemasaran yang digerakkan oleh Alipay untuk meningkatkan penglibatan pelanggan membolehkan pelancong antarabangsa yang menggunakan e-wallet disokong oleh Alipay.

“Mereka boleh mendapatkan mata ganjaran atau menerima diskaun dan faedah dalam ekosistem peniaga DuitNow PayNet,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!