Bersatu Kelantan beri bayangan PRK bakal berlaku

Kamaruddin
Kamaruddin
A
A
A

KOTA BHARU - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kelantan memberi bayangan bahawa pilihan raya kecil (PRK) di negeri itu akan berlaku melibatkan tiga kerusi yang disandang oleh dua ahli parti berkenaan ketika ini.

Pengerusi Bersatu Kelantan, Datuk Kamaruddin Md Noor berkata, ia berikutan sikap Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik dan Ahli Parlimen Gua Musang yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim didakwa berdiam diri daripada berjumpa atau berbincang dengan kepimpinan parti berkait isu sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Zahari
Zahari

Menurut beliau, tindakan mereka sekali gus memberi tanggapan bahawa masing-masing kekal dengan keputusan tersebut.

“Melihat kepada sikap mereka yang langsung tidak mahu bertemu atau berbincang dengan pucuk pimpinan parti, kami berasakan mereka sudah nekad keputusan masing-masing, seolah-olah mengatakan “apa nak jadi pun, jadilah”.

Mohd Azizi
Mohd Azizi

“Sebaik kelulusan pindaan perlembagaan parti untuk pelucutan keahlian terhadap Ahli Parlimen, ADUN dan Ahli Dewan Negeri yang menyokong pihak bertentangan atau musuh, disahkan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), maka keingkaran mereka itu akan menyebabkan keahlian terbatal serta berlaku kekosongan kerusi seterusnya PRK,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita ketika ditemui selepas Persidangan Kali Pertama Bagi Tempoh Penggal ke-2 Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan ke-15 2024 di Kompleks Kota Darulnaim, di sini pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Menurut Kamaruddin, pindaan perlembagaan parti tersebut turut terkait dengan Akta Anti Lompat Parti yang akan memberi kesan kepada kedua-dua ahli Bersatu terbabit.

ADUN Ayer Lanas itu berkata, situasi berkenaan diperkuatkan lagi dengan kenyataan beberapa pimpinan UMNO yang dilihat berminat untuk meletakkan calon sekiranya berlaku PRK di kerusi-kerusi berkenaan.

“UMNO pun berselera untuk bertanding nampaknya.

“Jadi mungkin mereka juga akan menekan RoS untuk segera mengesahkan pindaan perlembagaan Bersatu ini,” katanya.

Sementara itu, Kamaruddin mengakui cabaran dalam memilih dan meletakkan calon yang berintegriti pada PRK itu nanti selain menyedari imej parti yang terjejas susulan tindakan ahli-ahli yang terlibat.

“Ahli-ahli dipandang seolah-olah tidak disiplin dan saya pun faham kenapa Pas keluar kenyataan untuk meletakkan calon mereka.

“Sudahlah kita tidak cukup kerusi, berlaku pula sebegini tetapi saya berharap Bersatu akan diberikan keutamaan bertanding di Parlimen Jeli dan Gua Musang serta DUN Nenggiri jika kosong bersesuaian dengan persefahaman yang dibuat atas nama Perikatan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-15 lalu,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!