Kelulusan pindaan Perlembagaan Bersatu, tiada campur tangan politik

Saifuddin dalam sidang akhbar di kementeriannya pada Jumaat.
Saifuddin dalam sidang akhbar di kementeriannya pada Jumaat.
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan tiada campur tangan politik berlaku dalam urusan kelulusan pindaan Perlembagaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Tegasnya, permohonan Bersatu itu belum beliau terima.

"Mungkin mereka telah menghantar kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS), tetapi saya masih belum terima.

"Campur tangan politik? Sebab mereka pernah buat, jadi mereka fikir saya akan melakukan perkara sama.

"Mereka pernah campur tangan dalam RoS, jadi dia fikir Menteri KDN ini akan buat seperti mereka buat. Silap besar," katanya menerusi sidang akhbar di sini pada Jumaat.

Minggu lalu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan menggesa RoS segera meluluskan pindaan perlembagaan parti itu bagi membolehkan ia dikuatkuasakan serta-merta.

Beliau turut berharap supaya tiada sebarang campur tangan politik yang boleh mempengaruhi proses berkenaan menjadi perlahan.

Perhimpunan Agung Khas Bersatu pada 2 Mac lalu meluluskan pindaan perlembagaan parti itu berhubung pelucutan keahlian parti bagi Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta Ahli Dewan Negeri yang menyokong mana-mana pihak yang bertentangan dengan parti atau musuh.

Artikel Berkaitan:

Pindaan itu membabitkan tiga perkara di bawah Fasal 10 Perlembagaan Bersatu iaitu berkaitan hal-hal pemberhentian dan pemecatan ahli parti.

Kelulusan sebulat suara pindaan itu diumumkan oleh Pengerusi Tetap Bersatu, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah di hadapan 1,956 perwakilan daripada bahagian serta sayap Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) dan Srikandi, dan Srikandi Muda yang hadir.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28