Bursa Malaysia diunjur mengukuh dengan kecenderungan meningkat minggu depan

Pada asas Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI menambah 1.84 mata kepada 1,539.86 daripada 1,538.02 minggu lepas. - Gambar hiasan
Pada asas Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI menambah 1.84 mata kepada 1,539.86 daripada 1,538.02 minggu lepas. - Gambar hiasan
A
A
A

BURSA Malaysia dijangka kekal dalam sentimen kukuh dengan kecenderungan positif minggu depan menjelang pengumuman mengenai laporan penting di peringkat tempatan dan Amerika Syarikat (AS).

Ketua Penyelidikan Apex Securities Bhd, Kenneth Leong berkata, pelabur akan sentiasa memantau data pengeluaran perindustrian Malaysia serta laporan Indeks Harga Pengguna AS minggu depan.

"Pada masa akan datang, peningkatan seterusnya dijangka terus ada di tengah-tengah situasi pasaran yang lebih tenang dengan indeks utama berusaha untuk menguji paras tertingginya iaitu 1,558 baru-baru ini.

"Mana-mana data inflasi yang lebih rendah akan mengukuhkan pandangan Rizab Persekutuan (Fed) AS mengenai potensi penurunan kadar pada 2024,” katanya.

Oleh itu, beliau menjangka indeks utama akan menuju paras rintangan segera 1,558 manakala paras sokongan dalam masa terdekat pada 1,519.

Sementara itu, Ketua Penyelidikan dan Penasihat Kekayaan, Pengurus Portfolio di UOB Kay Hian Wealth Advisors, Mohd Sedek Jantan berkata, beliau menjangka aktiviti pembelian yang kukuh dalam sektor komoditi, didorong oleh kekukuhan harga komoditi asas dan jangkaan potensi penurunan kadar faedah oleh Fed tahun ini.

"Selain itu, kami meramalkan minat belian yang tinggi dalam sektor teknologi domestik manakala terdapat peningkatan ketara dalam momentum sektor pembinaan, yang memperlihatkan pertumbuhan memberangsangkan pada suku keempat 2023 dan sepanjang tahun,” katanya.

Bagi minggu yang baru berakhir, kebanyakan pasaran adalah lebih tinggi sejajar dengan prestasi yang memberangsangkan di Wall Street AS dan pasaran serantau serta minat risiko yang lebih baik selepas Bank Negara Malaysia mengekalkan kadar dasar semalaman yang tidak berubah pada tiga peratus.

Artikel Berkaitan:

Pada asas Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI menambah 1.84 mata kepada 1,539.86 daripada 1,538.02 minggu lepas.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 13.67 mata kepada 11,423.98, Indeks FBMT 100 menokok 13.28 mata kepada 11,088.05, Indeks FBM 70 naik 18.66 mata kepada 15,403.38, Indeks FBM Emas Syariah susut 47.57 mata kepada 11,423.98, dan Indeks ACE FBM turun 71.31 mata kepada 4,689.05.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 193.52 mata kepada 17,368.74, Indeks Tenaga susut 6.08 mata kepada 903.57, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menyusut 1.62 mata kepada 174.16, dan Indeks Perladangan menokok 92.47 mata kepada 7,316.33.

Jumlah dagangan mingguan merosot kepada 17.37 bilion unit bernilai RM13.36 bilion daripada 22.55 bilion unit bernilai RM19.61 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama merosot kepada 9.26 bilion saham bernilai RM11.97 bilion daripada 15.51 bilion saham bernilai RM18.29 bilion minggu lepas.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 5.14 bilion unit bernilai RM681.73 juta berbanding 4.25 bilion unit bernilai RM594.90 juta minggu lepas.

Jumlah dagangan Pasaran ACE naik kepada 2.88 bilion saham bernilai RM701.42 juta daripada 2.74 bilion saham bernilai RM718.65 juta sebelumnya. - Bernama