Dedah statistik nahas jalan raya kepada pekerja setiap hari

Foto hiasan 123RF. Gambar kecil: Lam Thye
Foto hiasan 123RF. Gambar kecil: Lam Thye
A
A
A

SHAH ALAM - Golongan majikan disaran mendedahkan statistik kemalangan jalan raya kepada pekerja setiap hari dengan menekankan aspek keselamatan sebagai usaha mencegah kemalangan yang meragut nyawa.

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, ini kerana jumlah kemalangan pekerja yang berulang-alik semakin meningkat saban tahun dan menunjukkan trend peningkatan yang amat serius.

Menurutnya, selain daripada publisiti yang diwar-warkan setiap hari, pengguna jalan raya juga perlu memainkan peranan dengan mematuhi peraturan dan lebih berdisiplin ketika menggunakan jalan raya.

''Seperti dilaporkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), jumlah kemalangan pekerja yang berulang alik saban hari semakin meningkat saban tahun.

''Pada 2021, jumlah pekerja kemalangan ketika perjalanan bekerja ialah sebanyak 23,481 kes meningkat ke 32,325 kes pada 2022 dan menjadi 38,454 kes pada tahun lepas.

''Justeru, diharap pihak majikan menekankan aspek keselamatan terhadap pekerja tentang keselamatan menggunakan jalan raya saban hari bagi mengingatkan pekerja untuk sentiasa berhati-hati di jalan raya,'' kata kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Dalam masa sama, pihaknya mengalu-alukan keputusan kerajaan untuk mempamerkan statistik kemalangan jalan raya yang berlaku setiap hari.

Katanya, selain paparan statistik melalui media massa dan dalam talian, agensi kerajaan seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga boleh memanfaatkan skrin elektronik untuk mendedahkan infomasi berkenaan.

Artikel Berkaitan:

''Saban tahun sememangnya kita menyaksikan berlaku peningkatan kes kemalangan jalan raya. Sadisnya statistik secara purata menganggarkan berlaku dalam 18 kematian sehari akibat kemalangan jalan raya.

''Jumlah ini menjadikan keseluruhan angka kematian akibat jalan raya dalam tempoh setahun adalah melebihi 6000 kematian setiap tahun,'' katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28