Tiada isu 'tersadai' di kaunter JPJ, pelanggan pilih untuk menunggu

Laporan Sinar Harian pada Khamis.
Laporan Sinar Harian pada Khamis.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Tiada isu pelanggan terpaksa menunggu sehingga hampir lima jam bagi menyelesaikan urusan berikutan mereka sudah diberi nombor giliran menerusi sistem janji temu dan nombor giliran bersepadu (JPJeQ).

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu, Zulkarnain Yasin berkata, ini kerana sistem tersebut telah memudahkan urusan pelanggan bagi mendapatkan slot janji temu, namun mereka memilih untuk menunggu di kaunter berkenaan meskipun sudah mendapat nombor giliran mengikut tempoh ditetapkan.

"Pelanggan yang datang ke JPJ boleh dapatkan nombor giliran menerusi JPJeQ untuk selesaikan urusan sebagai contoh jika datang pukul 10 pagi semasa waktu puncak maka keluar dalam sistem, pelanggan akan dilayan atau dapat selesaikan urusan di kaunter pada jam 3 petang.

"Semasa tempoh tersebut, pelanggan boleh rehat dan balik semula ke rumah atau selesaikan mana-mana urusan lain terlebih dahulu.

"Mereka boleh datang semula pada waktu telah ditetapkan melalui sistem tersebut.

"Namun ada di antara mereka yang memilih untuk menunggu.

"Punca kesesakan ini disebabkan pelanggan memilih menunggu di kaunter sedangkan mereka sudah mendapat nombor giliran ditetapkan," katanya.

Pada Khamis, Sinar Harian melaporkan pelanggan kaunter JPJ yang beroperasi di Pusat Transformasi Bandar (UTC) di sini mengeluh kerana terpaksa menunggu sehingga hampir lima jam bagi menyelesaikan urusan berkaitan kenderaan.

Artikel Berkaitan:

Tinjauan Sinar Harian sehingga jam 3 petang pada Khamis mendapati kaunter berkenaan masih lagi dipenuhi pelanggan termasuk mereka yang menunggu di luar kaunter dan duduk di atas lantai.

Mengulas lanjut, Zulkarnain berkata, sistem JPJeQ sememangnya melancarkan urusan pelanggan namun pihaknya tidak melarang sekiranya ada pihak yang memilih untuk menunggu di kaunter tersebut.

"Namun apabila mereka pilih nak menunggu maka timbul isu tersadai terlalu lama walaupun sebenarnya mereka sudah dapat waktu urusan ditetapkan.

"Memang sistem ini ada jarak masa, namun ia memberi peluang kepada orang ramai untuk mengatur jadual masing-masing.

"Orang ramai juga sudah dapat jangkaan masa dan mereka boleh sambung atau lakukan mana-mana urusan lain terlebih dahulu sebelum datang semula ke JPJ pada tempoh ditetapkan bagi selesaikan urusan berkaitan kenderaan," jelasnya.

Dalam pada itu, Zulkarnain juga mengakui berlaku kesesakan di kaunter JPJ dalam beberapa hari lepas, namun perkara itu sudah diusahakan dengan beberapa penambahbaikan bagi mengatasi masalah berkenaan.

"Sebenarnya dalam tempoh dua hingga tiga hari ini memang saya akui ada kesesakan di kaunter JPJ malah saya sudah arahkan petugas di UTC pada Khamis supaya lakukan kerja lebih masa.

"Ini bermaksud mereka masuk jam pagi tapi terpaksa kerja lebih masa sehingga 9 malam untuk selesaikan isu-isu melibatkan kehadiran pelanggan yang sangat ramai pada waktu tersebut," ujarnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28