Syarikat induk Chelsea umum kerugian

Stamford Bridge venue rasmi Chelsea. Foto AFP
Stamford Bridge venue rasmi Chelsea. Foto AFP
A
A
A

SYARIKAT induk Chelsea, BlueCo 22 mengumumkan kerugian bersih sebanyak 653 juta pound selepas cukai untuk tempoh Mac 2022 hingga Jun 2023, manakala kelab Liga Perdana itu mengalami kerugian sebelum cukai sebanyak 90.1 juta pound.

Konsortium BlueCo, diketuai jutawan Amerika Syarikat, Todd Boehly dan Clearlake Capital, membeli kelab London barat Chelsea pada 2022 manakala pada 2023 mereka juga mencapai persetujuan untuk menjadi pemegang saham kelab Perancis, Racing Strasbourg.

Kerugian untuk Chelsea dalam tempoh 12 bulan adalah lebih rendah berbanding 121.4 juta pound untuk tahun sebelumnya.

Kelab itu juga telah meningkatkan pendapatan hari perlawanan dan komersial selepas beroperasi tanpa sekatan kerajaan yang dikenakan ke atas mereka selepas pencerobohan Rusia ke atas Ukraine semasa di bawah pemilikan bekas pemilik Chelsea yang juga jutawan Rusia, Roman Abramovich sebelum ini.

“Chelsea meningkatkan hasil keseluruhan kepada 512.5 juta pound, memperoleh keuntungan daripada penjualan pendaftaran pemain dan aset tetap sebanyak 142.2 juta pound dan peningkatan dalam pendapatan lain.

“Ini membantu mengimbangi peningkatan kos operasi yang dilihat pada tahun ini. Tahun ini menyaksikan peningkatan keseluruhan dalam perolehan daripada 481.3 juta pound kepada 512.5 juta pound.

“Pendapatan hari perlawanan meningkat daripada 69.2 juta pound kepada 76.5 juta pound berbanding tahun sebelumnya,” kata laporan tahunan itu menambah, dengan purata kehadiran di Stamford Bridge meningkat kepada 40,002.

Bagaimanapun, skuad lelaki menduduki tempat ke-12 Liga Perdana Inggeris, menyebabkan bahagian penyiaran domestik yang lebih rendah.

Artikel Berkaitan:

Hasil penyiaran turun 9.1 juta pound kepada 225.9 juta pound berbanding tahun sebelumnya.

Perolehan juga meningkat dari skuad wanita yang memenangi Liga Super Wanita dan Piala FA Wanita selain mara ke final Piala Liga Wanita.

Hasil komersial meningkat 33 juta pound kepada 210.1 juta pound, dengan kelab itu mendapat manfaat daripada peningkatan bersih dalam pendapatan penajaan daripada pembaharuan rakan kongsi baharu dan sedia ada.

“Walaupun mengalami kerugian pada tahun itu dan kesan berterusan daripada sekatan yang dikenakan ke atas kelab pada tahun sebelumnya, kelab itu terus mematuhi peraturan kewangan Kesatuan Bolasepak Eropah dan Liga Perdana,” tambah Chelsea.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28