Malaysia mahu beri nafas baharu kepada forum diterajui ASEAN - Anwar

Anwar bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bergambar beramai-ramai selepas menyampaikan syarahan umum di ANU.
Anwar bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bergambar beramai-ramai selepas menyampaikan syarahan umum di ANU.
A
A
A

CANBERRA - Sebagai pengerusi ASEAN pada 2025, Malaysia akan berusaha untuk memberi nafas baharu kepada forum diterajui ASEAN bagi mencapai hasil yang diharapkan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata, bagi Malaysia, forum tersebut termasuklah Sidang Kemuncak Asia Timur, Forum Serantau ASEAN dan Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM)-Plus.

"Laluan yang menanti di hadapan bukan suatu yang mudah. Malang sekali terdapat keadaan yang sukar untuk berubah, dan fahaman konservatif yang berakar umbi, andaian bahawa tidak banyak lagi yang boleh dilakukan.

"Tetapi sekarang bukanlah masa untuk menjadi pengecut. Saya percaya dengan keazaman tinggi dan sokongan daripada rakan-rakan kita, kita akan dapat mencapai hasil yang diharapkan,” kata beliau semasa syarahan umumnya pada program 2024 Gareth Evans Oration bertajuk 'Navigating Geopolitical Currents: Malaysia and Australia’s pivotal role in Asia Pacific' di Australian National University (ANU), di sini, pada Khamis yang dihadiri lebih 500 pelajar.

Menurut Anwar, sudah pasti akan timbul rasa sinis mengenai nilai ASEAN dalam rantau yang banyak perbezaan ini, tetapi ketika jurang semakin meningkat dunia perlu mengukuhkan komitmen kepada ASEAN.

"Tanpanya, rantau ini pada dasarnya akan ditentukan oleh perkiraan kuasa-kuasa besar, tanpa mengambil kira pelbagai kepentingan dan pandangan yang lebih pelbagai," kata beliau.

Perdana Menteri berkata, bagi Malaysia, ASEAN berfungsi sebagai pengganda, platform yang amat diperlukan bagi negara-negara Asia Tenggara bagi tindakan bersama.

"Tidak relevan, kemerosotan atau berpaling arah bukan pilihan yang boleh diterima. Kemajuan ASEAN adalah teras kepentingan strategik kami," kata beliau.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, dari segi usaha mengurangkan jejak karbon, Anwar berkata, Australia, Malaysia dan negara-negara ASEAN mesti merancang secara strategik untuk menyesuaikan diri dengan peningkatan paras laut, gelombang haba dan kitaran air yang terganggu, untuk meningkatkan daya tahan iklim sambil melindungi pelaburan dalam peralihan karbon rendah.

"Sekarang, memandangkan pengurangan pelepasan karbon adalah mengikut pandangan yang berbeza, perancangan untuk menyesuaikan diri dengan kesan perubahan iklim adalah penting," kata beliau.

Anwar berkata, Malaysia, sebagai negara pengeluar minyak dan gas, komited untuk mencapai pelepasan sifar bersih seawal 2050 dan memenuhi komitmennya kepada Perjanjian Paris, walaupun negara menyumbang kurang daripada satu peratus kepada pelepasan gas rumah hijau global.

"Kami telah menetapkan sasaran untuk menyokong peralihan tenaga, termasuk 70 peratus bahagian kapasiti elektrik tenaga boleh baharu menjelang 2050, peningkatan ketara daripada paras semasa iaitu 25 peratus," kata beliau. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28