'Cadang dasar lebih luas, bukan rosakkan perpaduan' - Pemuda MCA

Yee Fung
Yee Fung
A
A
A

KUALA LUMPUR – Cadangan untuk mewujudkan sistem pendidikan satu aliran dianggap tidak relevan dan hanya mahu memecahbelahkan keharmonian kaum di negara ini.

Setiausaha Agung Pemuda MCA, Saw Yee Fung berkata, walaupun negara menghadapi pelbagai cabaran, tindakan Pemuda UMNO membangkitkan isu pendidikan satu aliran pada masa ini dianggap tidak produktif untuk kemajuan negara.

Menurutnya, lebih baik Pemuda UMNO membentangkan pelbagai cadangan dasar yang lebih luas bertujuan untuk memperkukuh ekonomi, mengukuhkan ringgit, dan menangani kebimbangan kehidupan rakyat dari mengekalkan naratif memecahbelahkan.

“Untuk mendapatkan kepercayaan rakyat dalam memimpin, sebagai seorang pemimpin janganlah cuba memanipulasi ketegangan kaum atau mewujudkan perpecahan.

“Pemuda UMNO harus menumpukan usaha untuk mencadangkan pendekatan baharu untuk rakyat berbanding hanya mahu merosakkan perpaduan negara,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Salleh yang mencadangkan sekolah satu aliran diwujudkan

Dr Akmal sebelum itu tidak bersetuju dengan kenyataan Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Chan Ming Kai mengenai penyertaan kaum Cina sebagai penjawat awam masih rendah.

Jelas Dr Akmal, bukan galakkan penyertaan kepada kaum Cina sahaja jadi penjawat awam, ia patut digalakkan kepada kaum India, dan kaum-kaum yang lain juga terutama dalam bidang ketenteraan yang kurang penyertaannya dalam kalangan bukan bumiputera.

Artikel Berkaitan:

Yee Fung dalam pada itu menegaskan beberapa kumpulan sebelum ini telah memfailkan saman di mahkamah mengenai status undang-undang sekolah vernakular Cina dan Tamil.

“Walau bagaimanapun, Mahkamah Tinggi hingga Mahkamah Rayuan, secara konsisten membuat keputusan yang memihak kepada sekolah vernakular.

“Akhirnya, Mahkamah Persekutuan juga menolak rayuan yang difailkan oleh plaintif, dengan berkesan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini.

“Keputusan ini mengesahkan bahawa penggunaan bahasa Cina dan Tamil sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah ini adalah hak yang dilindungi oleh perlembagaan dan tidak melanggar Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya,

Tambahnya dalam hal ini, status sekolah vernakular Cina dan Tamil serta hak mereka menggunakan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar tidak perlu dipersoalkan atau dicabar oleh mana-mana pihak.

“Sebagai sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian kaum dan budaya, sistem pendidikan pelbagai aliran Malaysia adalah asas struktur sosial dan kekuatan kita," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28