Sekolah Kebangsaan, sekolah kelas ketiga?

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

HARI ini hari perjumpaan ibu bapa dan cikgu berkaitan pencapaian pembelajaran anak.

Semasa beratur, terasa dingin. Mencari-cari saya datang dari mana sambil melihat di antara dua papan putih besar di depan bilik darjah, ada TV LED 82" Touch Screen. TV LED ini sedang diguna pakai anak murid untuk menulis di atas TV LED ini.

Setiba saja di pintu bilik darjah ini, memang terasa benar-benar dingin. Baru saya nampak dua mesin hawa dingin sedang dipasangkan dengan suhu 17 darjah Celsius.

Baru juga teringat anak saya sering sebut dia kesejukkan di dalam bilik darjahnya di pagi hari.

Saya ingat kerana embun pagi. Rupanya, memang diawal pagi penghawa dingin ini sudah dipasang.

Ini sekolah di Malaysia. Hanya satu sesi dibelah pagi. Lengkap dengan dewan, gelanggang basketball di tingkat bawah dan di atasnya ada padang. Pelik bukan? Ianya wujud.

Beruntunglah mereka yang memasuki sekolah kebangsaan tetapi seperti sekolah antarabangsa.

Artikel Berkaitan:

Malahan, sekolah berasrama penuh pun tidak seperti sekolah ini. Dari segi prasarana, MRSM yang elit pun tak setanding sekolah kebangsaan ini.

Inilah sekolah vernakular kebangsaan yang mahu dipadamkan oleh sesetengah pihak di bumi Malaysia.

Banyak kali saya menulis. Jika mahu padamkan sekolah vernakular kebangsaan, naikkan dulu taraf sekolah kebangsaan.

Ternyata jauh berbeza kepentingan pendidikan di kalangan pelbagai bangsa di Malaysia. Kajian juga pernah dibuat mengapa ini berlaku.

Perbezaan yang dipaksa samakan?

Setiap kita berbeza. Minat berbeza. Bakat berbeza. Dibesarkan dalam keluarga yang berbeza-beza. Adik beradik kembar pun ada perbezaan. Inikan lagi perbezaan bangsa dan suku. Perbezaan agama dan amalan. Perbezaan bahasa dan budaya.

Jarang kita lihat kajian universiti di Malaysia oleh Profesor Doktor Falsafah berkaitan dengan perbezaan ini.

Jarang juga ahli fikir negara menawarkan pendekatan yang berbeza-beza dalam menangani kelesuan minat anak muda untuk belajar diperingkat universiti.

Ini bukan perkara baru sebenarnya. Lebih-lebih lagi pada hari ini banyak yang bergantung kepada GIG ekonomi dan juga pihak pemerintah yang belum mampu menjanakan pertumbuhan ekonomi sekaligus menyelesaikan kebanjiran pekerja asing.

Sejak Merdeka agaknya, pendidikan Malaysia dipukul rata. Terutamanya dari majoriti warganegara yang tidak mampu. Hasilnya, jumlah graduan warganegara mengikut jantina dan bangsa jadi tidak seimbang.

Terutamanya bangsa majoriti Melayu yang bertambah ketinggalan. Akan tetapi, adakah wajar dan relevan untuk diploma, ijazah, sarjana kekal menjadi penentu keberhasilan ekonomi terhadap individu, keluarga dan negara?

Adakah kita masih ditakuk yang lama? Berulang-ulang setiap tahun dan dekad dan mengharapkan pencapaian yang suatu hari, tiba-tiba jadi yang menakjubkan? Sedihnya, inilah yang sedang kita lakukan sejak merdeka.

Penulis, Mohamad Riadz Tan Sri Mohamad Hashim, Terendak SPM '90