TSG terima tajaan RM2 juta daripada Terengganu Inc

Che Ku Mohd Izmuddin (tiga dari kanan) menerima kontrak penajaan disampaikan oleh Burhanuddin pada majlis yang diadakan di Permai Hotel, Kuala Terengganu.
Che Ku Mohd Izmuddin (tiga dari kanan) menerima kontrak penajaan disampaikan oleh Burhanuddin pada majlis yang diadakan di Permai Hotel, Kuala Terengganu.
A
A
A

PASUKAN berbasikal nombor satu Asia, Terengganu Cycling Team (TSG) menerima tajaan sebanyak RM2 juta daripada Terengganu Incorporated (Terengganu Inc) bagi menghadapi cabaran musim ini.

Ketua Pegawai Eksekutif TSG, Che Ku Mohd Izmuddin Che Ku Mahmood berkata, jumlah itu menjadikan sebanyak RM11 juta penajaan diterima pasukan berkenaan setakat ini.

Menurutnya, TSG amat berbesar hati kerana menerima sokongan berterusan melalui penajaan yang disalurkan pada musim ini.

"Penajaan dalam bentuk tunai, barangan dan perkhidmatan itu membolehkan pasukan tersebut dapat mengharungi perlumbaan dengan lebih lancar di peringkat antarabangsa.

"Ia memberi makna yang besar kerana memerlukan kita sumber kewangan besar bagi mengharungi cabaran di Eropah, Afrika dan Asia lebih-lebih lagi dalam keadaan mata wang kita agak rendah ketika ini," katanya pada majlis menandatangani kontrak penajaan antara Terenggganu Inc dan TSG, di sini pada Khamis.

Che Ku Mohd Izmuddin (kiri) bersama Burhanuddin (tengah) dan Timbalan Exco Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu, Mohd Fadhli Rahmi pada sidang akhbar di Kuala Terengganu pada Khamis.
Che Ku Mohd Izmuddin (kiri) bersama Burhanuddin (tengah) dan Timbalan Exco Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu, Mohd Fadhli Rahmi pada sidang akhbar di Kuala Terengganu pada Khamis.

Mengulas mengenai cabaran musim ini, Che Ku Mohd Izmuddin berkata, pihaknya menjangkakan akan menyertai sekurang-kurangnya 42 perlumbaan di peringkat tempatan dan antarabangsa.

"Kita meletakkan sasaran untuk mengekalkan gelaran selaku juara Asia dan memperbaiki pencapaian di peringkat dunia," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun berkata, penajaan diberikan kepada pasukan yang berpengkalan di Kuala Terengganu itu kerana pihaknya berpuas hati dengan prestasi yang dipamerkan di peringkat antarabangsa.

"Musim 2022 kita salurkan tajaan sebanyak RM1.5 juta dan jumlah itu ditingkatkan kepada RM2 juta tahun lalu.

"Untuk musim ini kita kekalkan nilai RM2 juta kerana puas hati dengan rekod cemerlang pasukan yang dibarisi ramai anak tempatan," katanya.

TSG menamatkan musim 2023 dengan cemerlang apabila mempertahankan gelaran juara Jelajah Asia Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) selama tiga tahun berturut-turut di samping dinobatkan pasukan benua terbaik dunia.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!