MFL mohon pertimbangkan semula tarikh jadual Piala AFF

Stuart Ramalingam
Stuart Ramalingam
A
A
A

LIGA Bolasepak Malaysia (MFL) menaruh harapan tinggi agar Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) dapat mempertimbang semula tarikh jadual perlawanan Piala AFF yang bertindih dengan kejohanan anjuran Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) berlangsung hujung tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif (MFL) Datuk Stuart Ramalingam berkata tarikh jadual kejohanan dikeluarkan itu memberi kesan kepada dua wakil negara yang turut serta, masing-masing Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Selangor FC.

“Pasukan kebangsaan adalah keutamaan MFL seperti juga saingan kelab MFL dalam pertandingan AFC di mana kedua-duanya amat penting untuk pembangunan pasukan kebangsaan (dan) kita dalam situasi rumit disebabkan penentuan tarikh (AFF) yang berlangsung dengan tarikh AFC.

“Kami harap AFF boleh tentukan tarikh sesuai bukan untuk Malaysia saja tetapi untuk liga-liga lain di rantau ini. Kita semestinya akan berbincang bersama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) (apa yang perlu) dilaksanakan untuk capai keputusan paling sesuai buat MFL dan juga pasukan kebangsaan,” katanya ketika ditemui pemberita pada Khamis.

Sebagai rekod, AFF sebelum ini mengumumkan jadual kejohanan Piala AFF akan berlangsung pada 23 November sehingga 21 Disember depan.

JDT akan beraksi di Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) bagi menghadapi dua perlawanan pada 25 hingga 27 November dan 2 hingga 4 Disember depan.

Sementara Selangor FC terlibat dalam kejohanan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) pada 26 hingga 28 November dan 3 hingga 5 Disember depan.

Selain Malaysia, saingan tersebut juga menyaksikan beberapa kelab dari Thailand, Vietnam, Singapura dan Filipina akan turun bertanding bagi Zon Timur.

Artikel Berkaitan:

Stuart dalam pada itu enggan membuat spekulasi awal mengenai kejohanan AFF yang berkemungkinan berlangsung hambar ekoran tarikh bertindih, sebaliknya membiar perkara berkenaan untuk dibincang bersama FAM.

“FAM pun mungkin sudah ada percaturan mereka sendiri dan MFL akan sedia membantu dalam mana-mana percaturan itu bukan saja untuk pasukan kebangsaan tetapi juga keutamaan kepada pasukan kita yang bersaing dalam AFC,” katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!