Tak puas hati keputusan, pemain bola sepak serang pengadil

Tangkap layar video insiden pengadil dikejar individu dipercayai pemain bola sepak pada perlawanan yang berlangsung di daerah Manjung hingga tular di media sosial. Foto: ihsan pembaca
Tangkap layar video insiden pengadil dikejar individu dipercayai pemain bola sepak pada perlawanan yang berlangsung di daerah Manjung hingga tular di media sosial. Foto: ihsan pembaca
A
A
A

LUMUT - Polis menjalankan siasatan berhubung pergaduhan melibatkan pemain bola sepak dan pengadil yang tular menerusi satu video di media sosial pada Ahad.

Difahamkan kejadian itu berlaku pada perlawanan suku akhir Kejohanan Bola Sepak 9 Sebelah Persatuan Pihak Berkuasa Tempatan Malaysia (MALA) 2023 melibatkan 48 pasukan seluruh negara.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah berkata, siasatan lanjut dijalankan selepas menerima laporan daripada pengadil berkenaan.

"Difahamkan kekecohan itu dipercayai berlaku kerana rasa tidak berpuas hati terhadap keputusan perlawanan.

"Mangsa telah menerima rawatan di Hospital Seri Manjung dan dia mengalami kecederaan tisu lembut," katanya ketika dihubungi di sini pada Isnin.

Menurut Mohamed Nordin, pihaknya sedang mengenal pasti individu yang terlibat dalam kejadian itu.

Tambah beliau, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, tular video berdurasi 30 saat memaparkan seorang pengadil dikejar pemain sehingga ke khemah pasukan sebelum ditenangkan beberapa individu lain.

Artikel Berkaitan:

Dalam kejohanan yang berakhir pada Ahad, Majlis Perbandaran Manjung (MPM) selaku tuan rumah menggondol Piala Menteri KPKT selepas menewaskan Majlis Bandaraya Seremban (MBS) dengan 1-0 di Stadium MPM.