Keputusan rayuan sabitan bersalah Siti Bainun abai, aniaya Bella 24 April

Siti Bainun (dua dari kiri) hadir ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. - Foto Bernama
Siti Bainun (dua dari kiri) hadir ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis menetapkan 24 April depan untuk keputusan rayuan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali terhadap sabitan bersalah, bagi dua pertuduhan mengabai dan menganiaya seorang kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun dikenali Bella.

Hakim Datuk Noorin Badaruddin menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan daripada peguam yang mewakili Siti Bainun, 32, selaku perayu dan pihak pendakwaan yang hadir sebagai responden.

“Mahkamah telah meneliti kesemua hujahan lisan daripada kedua-dua pihak, maka saya akan beri alasan penghakiman ringkas pada tarikh itu,” kata Noorin.

Semasa hujahan, peguam, Haijan Omar yang mewakili Siti Bainun berkata, hakim Mahkamah Sesyen di sini tersalah arah dalam mensabitkan kesalahan itu terhadap anak guamnya.

Ini kerana, beliau berkata, pertuduhan baharu tidak dibaca termasuk tidak diambil pengakuan selepas pertuduhan terhadapnya dipinda.

Bukan itu sahaja, Haijan berkata, perayu juga tidak diwakili peguam menyebabkan haknya telah diprejudiskan.

“Siti Bainun telah meminta penangguhan prosiding kerana dia tidak diwakili peguam, namun permohonan itu ditolak malah disuruh membela diri dengan membaca pernyataan saksi.

“Bagaimanapun, kenyataan saksi itu dibantah (dibuang) oleh responden,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Hakim kemudiannya menyoal bilangan hari Siti Bainun tidak diwakili peguam ketika prosiding pembelaan.

Menjawab soalan itu, Timbalan Pendakwa Raya, Zahida Zakaria berkata, Siti Bainun yang sebelum ini aktif dengan aktiviti kebajikan tidak diwakili peguam selama 25 hari, bermula 26 Januari 2021.

Hakim: Kenapa perayu tidak bantah?

Haijan: Siti Bainun tidak tahu cara untuk membantah, apatah lagi perkara yang patut dibantah. Bukan itu sahaja, pendakwaan juga tidak memanggil saksi yang menyaksikan kejadian, iaitu dua remaja dikenali sebagai Aida dan Balqis.

Hakim: Kenapa perlu panggil dua remaja itu dan mengapa pembelaan tidak mengambil langkah sama, biarpun nama mereka termasuk dalam senarai yang ditawarkan oleh pihak pendakwaan?

Haijan: Beban pembuktian untuk memanggil saksi itu ialah terletak di bahu pendakwaan, bukannya pembelaan.

Ini kerana peguam itu berkata, mereka yang juga bekas penghuni Rumah Bonda telah memberi keterangan yang bercanggah mengenai kejadian yang menimpa Bella ketika siasatan dijalankan dengan laporan polis dibuat.

Menjawab perkara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Analia Kamaruddin menghujahkan, dua saksi itu tidak dipanggil kerana mereka merupakan saksi kanak-kanak.

Katanya, sudah mencukupi keterangan yang diberi ketika disoal siasat di lokasi kejadian Bella diabai dan dianiaya.

“Ketika kejadian, remaja yang berusia 14 dan 16 tahun itu berada di bawah pemeliharaan Siti Bainun.

“Mengambil perkara itu, pihak kami menghujahkan tiada keterangan lain diperlukan,” katanya.

Selain Haijan Omar, perayu turut diwakili peguam, Nur A'minahtul Mardiah Md Nor dan Nurul Hafidzah Hassan sementara responden oleh Timbalan Pendakwa Raya, Zahida Zakaria.

Turut hadir ialah peguam pemerhati bagi pihak Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim iaitu peguam, Datuk Ikbal Salam, Gurpreet Kaur Pannu dan Mohd Radzi Yatiman sementara peguam, Datuk Yasmeen Muhamad Shariff mewakili Majlis Peguam Malaysia.

Pada 3 Mei tahun lepas, Mahkamah Sesyen di sini memerintahkan Siti Bainun menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya Bella, 13, di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.

Mahkamah turut memerintahkan Siti Bainun menandatangani bon berkelakuan baik selama lima tahun dengan seorang penjamin berserta cagaran RM5,000.

Dia juga diarah melaksanakan khidmat masyarakat selama 200 jam yang perlu disempurnakan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara.

Pada 23 Mei tahun sama, Mahkamah Tinggi menolak permohonannya untuk menangguhkan hukuman penjara kerana tiada keadaan khas mewajarkan pengasas Rumah Bonda itu dilepaskan sementara menunggu rayuan sabitan serta hukuman didengar.

Ini bermakna wanita berusia 31 tahun itu kekal dipenjarakan sementara menunggu rayuan terhadap sabitan dan hukuman diputuskan oleh Mahkamah Tinggi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!