Pendengaran rayuan Siti Bainun ditangguh ke 30 Januari

Siti Bainun (dua dari kiri) hadir ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. - Foto Bernama
Siti Bainun (dua dari kiri) hadir ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Pendengaran rayuan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali di Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa, berhubung hukuman serta sabitan penjara 12 tahun kerana mengabai dan menganiaya remaja sindrom Down, Bella ditangguhkan ke 30 Januari tahun depan.

Hakim, Datuk Noorin Badaruddin memutuskan demikian selepas peguam, Haijan Omar mewakili Siti Bainun, 31, selaku pemohon, memaklumkan pembelaan menerima nota keterangan yang tidak lengkap.

Antara dokumen yang tidak lengkap katanya, membabitkan nota keterangan daripada saksi pembelaan kelapan, pensyarah kanan bidang psikologi perkembangan kanak-kanak dan remaja berkeperluan khas, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Abdul Rahman Ahmad Badayai.

“Kami telah menerima dokumen kes ini, namun terdapat beberapa nota keterangan tidak dilampirkan.

“Justeru itu, pihak pembelaan memohon prosiding pendengaran ini ditangguhkan dan mohon satu tarikh lain bagi pengurusan kes seterusnya,” kata peguam itu.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad tidak membantah permohonan penangguhan.

Mahkamah turut menetapkan pengurusan kes berkenaan pada 7 Disember depan.

Pada 23 Mei lepas, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Siti Bainun agar pelaksanaan hukuman penjara terhadapnya ditangguhkan selepas mendapati tiada keadaan khas atau luar biasa untuk berbuat demikian.

Artikel Berkaitan:

Siti Bainun kemudiannya diarah menjalani hukuman penjara serta-merta selepas Hakim Mahkamah Sesyen, Izralizam Sanusi, menolak permohonannya untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman ke Penjara Kajang pada 3 Mei lepas.

Siti Bainun didapati bersalah melakukan perbuatan itu ke atas Bella, 13, di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju di sini antara Februari dan Jun 2021, turut diperintah menandatangani bon berkelakuan baik selama lima tahun dengan seorang penjamin berserta cagaran RM5,000.

Tertuduh juga diarah melaksanakan khidmat masyarakat selama 200 jam dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara.


Siti Bainun alami penurunan berat, tarik perhatian umum

KUALA LUMPUR -Susuk tubuh pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali yang semakin kurus, menarik perhatian semua pihak yang hadir di Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa.

Difahamkan, berat badan wanita berusia 31 tahun ini mencecah 150 kilogram (kg) ketika mula menjejakkan kaki ke tirai besi 3 Mei lalu, namun kini merosot kepada 90kg.

Ini bermakna, dia yang menjalani hukuman 12 tahun di Penjara Kajang selepas didapati bersalah mengabai dan menganiaya remaja sindrom Down, Bella telah mengalami penurunan berat badan sebanyak 60kg dalam masa enam bulan.

Dia yang memakai jubah merah jambu, dibawa ke mahkamah dengan diiringi anggota penjara, kelihatan tenang ketika disapa ahli keluarga dan rakan-rakannya yang memakai baju serba putih.

No Image Caption

Pada 3 Mei lepas, Mahkamah Sesyen di sini memerintahkan Siti Bainun menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya Bella, 13, di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.

Mahkamah turut memerintahkan Siti Bainun menandatangani bon berkelakuan baik selama lima tahun dengan seorang penjamin berserta cagaran RM5,000.

Dia juga diarah melaksanakan khidmat masyarakat selama 200 jam yang perlu disempurnakan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara.

Pada 23 Mei, Mahkamah Tinggi menolak permohonannya untuk menangguhkan hukuman penjara kerana tiada keadaan khas mewajarkan pengasas Rumah Bonda itu dilepaskan sementara menunggu rayuan sabitan serta hukuman didengar.

Ini bermakna wanita berusia 31 tahun itu kekal dipenjarakan sementara menunggu rayuan terhadap sabitan dan hukuman diputuskan oleh Mahkamah Tinggi.