LKAN: PAC panggil LTAT selepas Aidilfitri

Mas Ermieyati. Foto Bernama
Mas Ermieyati. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) akan memanggil Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) untuk memberikan penjelasan berhubung kedudukan kewangan lembaga itu selepas sambutan Aidifitri.

Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, pihaknya mengambil keputusan untuk memanggil LTAT terlebih dahulu kerana amat bimbang dengan kedudukan kewangannya selepas pembentangan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) mengenai Penyata Kewangan Agensi Persekutuan 2022 semalam bahawa rizab LTAT berbaki negatif.

Beliau berkata, ini sekali gus menimbulkan persoalan kemampuan LTAT membayar dividen kepada pencarumnya.

"PAC akan memanggil semua pihak yang berkaitan LTAT termasuk tiga pengurusan tertinggi LTAT yang meletakkan jawatan iaitu bekas Pengerusi LTAT, bekas Ketua Pegawai Eksekutif LTAT dan bekas Pengarah Kanan Strategik LTAT.

"Jawatankuasa ini juga tidak menolak untuk memanggil Menteri Pertahanan selaku menteri yang bertanggungjawab terhadap LTAT memandangkan isu ini amat kritikal membabitkan 122,935 pencarum sehingga 13 Mac 2023 yang terdiri daripada anggota Angkatan Tentera Malaysia,” katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen hari ini.

LKAN mengenai Penyata Kewangan Agensi Persekutuan 2022 yang dibentang di Dewan Rakyat semalam, mendedahkan rizab LTAT merekodkan baki negatif bagi tiga tahun berturut-turut sejak 2020 iaitu RM0.376 bilion, RM0.285 bilion (2021) dan RM0.338 bilion (2022).

Berikutan itu, LTAT disyorkan untuk menyemak dan menstruktur semula strategi pelaburan dengan tidak menumpukan ia dalam syarikat subsidiari bagi mengurangkan risiko pelaburan serta kebergantungan pendapatan.

Mas Ermieyati berkata, dua lagi agensi iaitu Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) yang turut disenaraikan sebagai agensi yang perlu diberikan perhatian oleh PAC, akan dipanggil selepas keputusan prosiding LTAT.

Artikel Berkaitan:

Mengenai prosiding PAC yang sedang berlangsung, beliau berkata, terdapat tujuh laporan dibentangkan jawatankuasa itu pada mesyuarat pertama sidang Parlimen membabitkan empat laporan PAC dan tiga laporan susulan.

"Laporan ini melibatkan Laporan UiTM Holdings Sdn Bhd, Laporan Pengurusan Pembangunan Hartanah Lembaga Pembangunan Langkawi, Laporan Program Ramalan dan Amaran Banjir serta Laporan Pengurusan Naik Taraf dan Pembangunan Semula Bangunan Daif di Sekolah.

"Turut dibentang Laporan Tindakan Susulan Pengurusan Wabak Covid-19: Vaksin Luput Tempoh Hayat, Peralatan Ventilator Tidak Dapat Digunakan dan Lebihan Personel Protective Equipment (PPE), serta Laporan Tindakan Susulan Terimaan dan Bayaran Obligasi Sosial Perjanjian Konsesi Pengurusan Industri Padi dan Beras Negara,” katanya.

Mas Ermieyati berkata, PAC turut membentangkan Laporan Tindakan Susulan Pegawai Pengawal terhadap syor Laporan Kemajuan Projek Pembangunan Kapal Peronda Generasi Kedua - Littoral Combat Ship (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia bagi tempoh Oktober 2022 hingga Mei 2023 dan Jun hingga September 2023, pada 29 Februari lepas. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28