Kontraktor pendawaian maut rempuh kereta pancit

Mangsa maut di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala.
Mangsa maut di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala.
A
A
A

BUTTERWORTH - Seorang kontraktor pendawaian maut selepas gagal mengawal motosikalnya lalu merempuh belakang sebuah kereta di Kilometer 115.9 Lebuhraya Utara Selatan malam tadi.

G Anbalagan, 25, maut di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala selepas motosikal jenis Yamaha LC yang ditunggangnya melanggar belakang sebuah kereta jenis Proton Saga sebelum dilanggar sebuah kenderaan lain.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, dalam kejadian 9 malam itu, pemandu kereta Proton Saga memberhentikan kenderaan di lorong kecemasan dengan memasang lampu kecemasan kerana tayar pancit.

Menurutnya, bagaimanapun mangsa yang datang dari arah sama telah merempuh belakang kereta tersebut sebelum terbabas ke tengah jalan lalu dilanggar sebuah kereta jenis Toyota Wish yang datang dari arah belakang.

"Siasatan mendapati Proton Saga yang dipandu pesara tentera berusia 61 tahun itu mengalami pancit pada tayar belakang sebelah kiri. Namun mangsa yang gagal mengawal motosikalnya merempuh belakang kereta tersebut lalu terbabas ke tengah jalan.

"Sebuah Toyota Wish yang dipandu seorang wanita pegawai bank berusia 35 tahun telah melanggar mangsa menyebabkan mangsa maut di tempat kejadian kerana parah di kepala. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kepala Batas untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Tambahnya, bedah siasat yang dijalankan pada jam 11.30 malam tadi mengesahkan punca kematian disebabkan kecederaan parah di kepala.

Noorzainy berkata, kedua-dua pemandu kereta tidak mengalami kecederaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel Berkaitan: