Hockademy laung amaran awal

Megat D Shahriman (tengah) bersama para pemain Hockademy ketika sidang media Pelancaran Pasukan Lelaki dan Wanita Hockademy dalam saingan LHM 2020 di Stadium Hoki Kuala Lumpur, Jalan Pantai semalam. - Foto Bernama
Megat D Shahriman (tengah) bersama para pemain Hockademy ketika sidang media Pelancaran Pasukan Lelaki dan Wanita Hockademy dalam saingan LHM 2020 di Stadium Hoki Kuala Lumpur, Jalan Pantai semalam. - Foto Bernama
A
A
A

PENDATANG baharu Liga Hoki Malaysia (LHM) 2020, Hockademy meletakkan sasaran untuk meraih tempat kedua terbaik bagi skuad wanita saingan musim ini selepas mendapat khidmat jurulatih berpengalaman Iman Gobinathan.

Pemilik Hockademy, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata, beliau percaya pengalaman Iman yang juga bekas penolong jurulatih skuad hoki wanita negara itu akan dapat membantu menjadikan pasukan berkenaan antara sebuah pasukan pilihan Liga Hoki Wanita Malaysia (MHWL).

Katanya, keyakinan itu juga hadir selepas pasukan di bawah naungan Persatuan Pendidikan Sukan Kuala Lumpur itu, berjaya 'memborong' enam pemain kebangsaan seperti Nuraini Rashid, Hanis Nadiah Onn, Kirandeep Kaur dan Wan Norfaiezah Saiuti, selain dua pemain import dari Australia, Ashley Kate Fey dan Hannah Kate.

"Kita terpaksa melupakan khidmat pemain import dari India, Ritusha Arya kerana beliau gagal mendapat pelepasan daripada negara itu, selain pemain itu kena gantung oleh Liga Hoki India atas masalah dalaman. Namun, kita tetap yakin untuk pencapaian yang baik pada musim ini.

"Saya percaya Hockademy akan menjadi medan pendedahan kepada ramai bakat-bakat muda," katanya yang juga merupakan Presiden Persatuan Hoki Kuala Lumpur (KLHA) selepas majlis pelancaran pasukan itu di Stadium Hoki Kuala Lumpur di sini semalam.

Sementara itu, bagi skuad lelaki kendalian bekas penyerang kebangsaan, S Selvaraju, walaupun tidak diletakkan sasaran tinggi dalam Divisyen Perdana LHM yang disertai oleh lapan pasukan, penampilan 10 pemain bawah 23 tahun dilihat sebagai tindakan berani untuk memberi peluang kepada pemain muda dan melahirkan bakat baharu.

"Kita juga diperkuatkan oleh tiga pemain kebangsaan Pakistan-Ahmad Nadeem, Rana Suhail Riaz dan Rizwan Ali yang akan tiba malam ini. Pasukan ini lebih kepada pembangunan untuk melahirkan pemain terbaik pada masa akan datang dan setiap perlawanan adalah penting buat kami," kata Selvaraju.

Hockademy juga membariskan bekas pemain Terengganu Hockey Team (THT), Baljit Singh Sarjab Singh dan bekas pemain Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC), Harvinder Singh serta pemain veteran berusia 39 tahun, M Siva yang merupakan antara pemain tertua bagi saingan kali ini.

Artikel Berkaitan:

Skuad lelaki yang diletakkan sasaran enam terbaik akan membuka tirai menentang Maybank esok manakala wanita akan bertemu PKS Uniten pada Sabtu. Kedua-dua perlawanan dijadualkan berlangsung di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil di sini. - Bernama