12 individu termasuk lima wanita edar kanabis diberkas

Ahmad Sukarno (dua dari kiri) menunjukkan dadah kanabis yang dirampas.
Ahmad Sukarno (dua dari kiri) menunjukkan dadah kanabis yang dirampas.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kegiatan 12 individu termasuk lima wanita yang dipercayai aktif mengedar dadah kanabis sejak tahun lalu tumpas dalam serbuan berasingan di Lembah Klang pada 26 Februari hingga 2 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, peranan 12 individu berusia 25 hingga 43 tahun itu disyaki sebagai 'runner' untuk menghantar dadah tersebut ke selatan tanah air.

"Secara keseluruhan kita merampas dadah kanabis seberat 18,567.50 gram yang dianggarkan bernilai RM 68,375," katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di sini pada Khamis.

Ahmad Sukarno berkata, serbuan pertama, pihaknya menahan seorang lelaki di sebuah hotel di Jalan Kuching pada jam 12.30 tengah hari, 26 Februari lalu.

"Kita telah merampas lima plastik lut sinar berisi bahan ketulan mampat disyaki dadah jenis kanabis anggaran berat 3,404 gram," katanya

Ahmad Sukarno berkata, hasil soal siasat, pihaknya menahan empat lelaki dan lima wanita serta merampas 23 plastik lut sinar berisi ketulan mampat disyaki dadah jenis kanabis anggaran berat 6,677 gram di sebuah kondominium di Jalan Gombak, di sini pada jam 1 petang, hari sama.

"Kesemua suspek telah dibawa balik ke Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, IPD Sentul dan Wangsa Maju untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad Sukarno berkata, pihaknya menahan seorang lelaki di kawasan kondominium di Sentul pada jam 4.18 petang, pasa 27 Februari lalu.

Artikel Berkaitan:

"Kita turut merampas dadah jenis kanabis anggaran berat 276.5 gram," katanya.

Ahmad Sukarno berkata, pihaknya menerima maklumat sindiket pengedaran dadah itu dipercayai menerima bekalan dadah jenis kanabis dari pembekal di kawasan Pantai Timur.

"Kita berjaya menahan seorang lagi lelaki di sebuah kondominium di Ibu kota pada jam 7 pagi, 2 Mac lalu.

"Hasil operasi, kita telah merampas lapan plastik lutsinar berisi ketulan mampat yang disyaki dadah jenis kanabis yang dianggarkan seberat 8,210 gram," ujarnya.

Ahmad Sukarno berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!