Slot Liga Super: Perlis United perlu penuhi syarat tambahan

Perlis United perlu melengkapkan syarat tambahan untuk menerima lesen luar biasa. (Gambar kecil: Stuart Ramalingam)
Perlis United perlu melengkapkan syarat tambahan untuk menerima lesen luar biasa. (Gambar kecil: Stuart Ramalingam)
A
A
A

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) mengarahkan Perlis United FC (PUFC) memenuhi syarat tambahan untuk layak menerima lesen luar biasa bagi mengisi slot ke-14 untuk menyertai Liga Super 2024-2025.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Stuart Ramalingam berkata, PUFC hanya akan diberikan lesen bersyarat luar biasa dengan mematuhi beberapa keperluan dan kriteria yang ditetapkan oleh First Instance Body (FIB).

Menurutnya, MFL telah memaklumkan syarat-syarat berkenaan kepada PUFC dan kini sedang menunggu dokumentasi penajaan dan bukti dana selepas pembentangan dilakukan pegawai-pegawai PUFC kepada pihak FIB.

"Berdasarkan semakan dan penilaian teliti terhadap setiap permohonan yang dikemukakan, PUFC memiliki dokumen lebih kukuh dengan salinan surat penajaan berjumlah RM25 juta daripada empat potensi penaja iaitu Mudim Zakaria Food Industries Sdn Bhd, Ivory Properties Group Berhad, M.A Intelligent Holdings Sdn Bhd dan Al Razi Holding (M) Sdn Bhd.

"PUFC turut telah mengemukakan salinan cek berjumlah RM5 juta daripada salah satu penaja tersebut sebagai bukti dana kewangan pasukan.

"Selain itu, kelab berkenaan juga menyerahkan surat sokongan daripada kerajaan negeri Perlis yang ditandatangani oleh Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli serta surat sokongan daripada Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA)," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Selain PUFC, turut mengemukakan permohonan adalah kelab Imigresen FC, KL Rovers FC dan Harini Selangor FT bagi mengisi slot ke-14 selepas Jawatankuasa Rayuan Pelesenan Kelab MFL (AB) menolak permohonan Lesen Kebangsaan Kelantan FC untuk bertanding dalam Liga Super 2024-2025.

Setiap permohonan perlu melengkapkan kriteria dan sub-kriteria iaitu Infrastruktur, Kakitangan dan Pentadbiran, Sukan, Perundangan, Kewangan dan Perniagaan yang telah dinyatakan dalam Peraturan Pelesenan Kelab MFL Edisi 2023.

Artikel Berkaitan: