NACS 2024-2028: SPRM bersedia sepenuhnya

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
A
A
A

PUTRAJAYA - Bahagian Perancangan Governans Nasional (BPGN), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersiap sedia sepenuhnya untuk menggalas tanggungjawab menyelaraskan pelbagai rancangan di bawah Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028 yang bakal dilancarkan pertengahan tahun ini.

NACS yang memfokuskan keberkesanan pencegahan rasuah, meningkatkan tatakelola dan integriti dalam pentadbiran perkhidmatan awam dan syarikat berkaitan kerajaan dilaksanakan bagi menggantikan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 yang berakhir tahun lepas.

Pengarah BPGN, Datuk Abd Aziz Aban berkata, pihaknya telah dan sedang memantau sebanyak 111 inisiatif di bawah NACP ketika ini.

Beliau berkata, secara keseluruhannya, pihaknya telah mencapai 85 inisiatif atau 77 peratus penyiapan sehingga ke peringkat output, iaitu peringkat hasil pengeluaran atau pembaharuan sesuatu dasar.

"Kenapa tidak boleh 100 peratus? ini kerana kebanyakannya perlu perbincangan ataupun libat urus yang lebih lagi memandangkan ia melibatkan undang-undang baru.

"Selain itu, pihak kita juga berdepan cabaran negara yang dilanda pandemik Covid-19 dan tiga kali perubahan kerajaan sepanjang tempoh lima tahun itu," katanya pada wawancara khas bersama media, baru-baru ini.

Beliau berkata, antara pencapaian menerusi NACP ialah penggubalan rang undang-undang (RUU) yang membawa kepada penubuhan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), selain 45 peraturan atau pekeliling baharu terhasil dan 23 pemindaan (peraturan atau pekeliling) di bawah pelan tersebut.

BPGN diwujudkan berkuat kuasa 18 April tahun lepas, diserap ke SPRM susulan pembubaran Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) yang terletak di bawah Jabatan Perdana Menteri sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

Abd Aziz berkata, bagi proses pembangunan dokumen NACS, ia melibatkan tindakan penyelarasan dan maklum balas daripada pelbagai pemegang taruh termasuk dari peringkat tertinggi sehingga ke akar umbi.

Ini sejajar dengan arahan dan pekeliling berkaitan pelaksanaan Pelan Antirasuah Nasional yang menggariskan parameter tatakelola, integriti dan antirasuah mencakupi enam sektor keutamaan negara, katanya.

Enam sektor tersebut adalah tadbir urus politik, pentadbiran sektor awam, perolehan awam, perundangan dan kehakiman, penguatkuasaan undang-undang dan tadbir urus korporat.

"Sesi Focus Group Discussion dan sesi temu bual berbentuk kajian kualitatif dilaksanakan bagi memperoleh pandangan pemegang taruh terhadap isu rasuah dan kelemahan tata kelola dan integriti.

"Soal selidik di lapangan turut dilaksanakan bagi mendapat gambaran tahap rasuah dan pandangan masyarakat,” katanya.

Jelasnya, cadangan strategi dan idea pembaharuan dari pelbagai pihak bagi pemantapan NACS sangat dialu-alukan dalam usaha mewujudkan tatakelola efisien dan berintegriti tinggi di negara ini.

Abd Aziz berkata, pengumpulan cadangan strategi dan idea pembaharuan yang bakal dirangka dalam NACS diharap dapat memberi impak dan hasil signifikan bagi pembanterasan rasuah di negara ini.

"Secara tidak langsung cadangan dan idea ini diharapkan dapat menyumbang kepada peningkatan Indeks Persepsi Rasuah (CPI)," katanya.

Arahan YAB Perdana Menteri No. 1 Tahun 2023 yang dilancarkan pada awal tahun ini oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan supaya usaha pemantapan tatakelola diperkasa ke arah memerangi rasuah dan hendak memastikan kegiatan itu tidak berlaku dalam pentadbiran kerajaan yang diterajuinya iaitu Kerajaan Perpaduan.

Menyentuh mengenai Indeks Persepsi Rasuah (CPI), Abd Aziz berkata, SPRM yakin dapat mencapai sasaran iaitu kedudukan ke-25 teratas di dunia bagi prestasi Indeks Persepsi Rasuah (CPI) untuk 10 tahun akan datang.

Sementara itu, Abd Aziz berkata, satu sesi perbincangan meja bulat berhubung Pasukan Khas CPI, yang ditubuhkan bagi mencari jalan untuk meningkatkan indeks persepsi itu, telah membincangkan terma rujukan, struktur dan hala tuju pasukan itu, telah diadakan Disember lepas.

"Cadangan struktur dan terma rujukan Pasukan Khas CPI Malaysia bakal dibentangkan di mesyuarat Jemaah Menteri pada suku pertama tahun ini," tambahnya. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28