Daim, keluarga gagal cabar siasatan SPRM

Daim
Daim
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Permohonan bekas Menteri Kewangan, Tun Dr Daim Zainuddin dan keluarganya untuk mencabar siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap mereka, ditolak oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin.

Hakim, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh memutuskan ketika prosiding permohonan Daim, 86, isteri serta empat anak termasuk Ilham Tower Sdn Bhd untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman dan mengarahkan SPRM menghentikan penyiasatan terhadap mereka.

Dalam kes ini, Tommy mewakili Daim, isterinya, Toh Puan Nai’mah Khalid, 67 dan empat anak, Asnida, 63, Md Wira Dani, 46, Muhammed Amir Zainuddin, 29, Muhammed Amin Zainuddin, 26 serta menara itu selaku pemohon pertama hingga ketujuh.

Sementara Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan hadir mewakili SPRM dan pendakwa raya, selaku responden pertama dan kedua.

Ketika membaca keputusan, hakim ini berkata, sebagai peraturan am, penggunaan kuasa ketika siasatan jenayah tidak terbuka kepada semakan kehakiman di bawah Aturan 53 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.

Bagaimanapun katanya, satu cara pemohon boleh mencabar penyiasatan jenayah ialah membuktikan kewujudan ‘mala fide’.

“Sekadar syak wasangka ‘mala fide’ atau dakwaan ugutan tidak mencukupi, maka pemohon gagal membuktikan ‘mala fide’ di pihak pegawai penyiasat SPRM.

“Mengenai dakwaan bahawa notis yang dikeluarkan SPRM adalah menyalahi undang-undang, namun penggunaan tafsiran undang-undang yang berbeza tidak membawa kepada kesilapan yang boleh diterima pakai oleh semakan kehakiman,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu beliau berkata, penegasan bahawa kesalahan yang didakwa adalah kesalahan lapuk bukanlah pembelaan yang diketahui dalam undang-undang jenayah.

Menurutnya, pemohon turut gagal membuktikan dengan bukti yang kukuh dan prima facie bahawa keputusan pegawai penyiasat SPRM adalah dalam termasuk dalam bidang kuasa semakan ini.

Katanya, memandangkan pemohon gagal menimbulkan isu mala fide, permohonan kebenaran untuk semakan kehakiman ini ditolak.

“Percubaan membatalkan pendakwaan ke atas pemohon pertama dan kedua di Mahkamah Sesyen perlu dibuat dengan permohonan di mahkamah jenayah bukan melalui semakan kehakiman.

“Permohonan kebenaran untuk semakan kehakiman ditolak dan tiada perintah untuk kos,” katanya.

Pada 10 Januari lalu, Daim memohon kepada Mahkamah Tinggi di sini, untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman dan mengarahkan SPRM menghentikan penyiasatan terhadapnya, isteri serta empat anak termasuk Ilham Tower mengaitkan kes rasuah dan pengubahan wang haram.

Dalam permohonan itu, mereka memohon perisytiharan bahawa SPRM serta pegawainya tiada sebab munasabah untuk menjalankan siasatan bermula Februari 2023, yang akan membawa kepada pendakwaan terhadap mereka.

Daim dan keluarga memohon perintah supaya SPRM dan pegawainya menghentikan semua siasatan mengikut Aturan 53 Kaedah 3(8) Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.

Melalui afidavit sokongan dalam permohonan berkenaan pula, Daim mendakwa dirinya adalah ahli perniagaan kaya dan berjaya sebelum menyertai politik dan menjawat jawatan awam.

Menurutnya, pegangan saham cair beliau saja akan bernilai lebih RM50 bilion hari ini jika kekal dalam perniagaan dan tidak melakukan apa-apa untuk mengembangkan asetnya secara aktif.

Beliau menceburi bidang perniagaan dan mengasaskan bersama rakan kongsi lain, Syarikat Maluri Sdn Bhd, yang terbabit dalam pembangunan hartanah pada atau sekitar 1969.

Bekas Ahli Parlimen Merbok itu berkata, syarikat itu bertanggungjawab membangunkan perbandaran yang dikenali sebagai Taman Maluri dan Taman Bukit Maluri di Kuala Lumpur, dengan penilaian hari ini bernilai lebih RM26 billion.

Beliau juga pemilik Malaysian French Bank dan kemudian UMBC (kini RHB), selain mempunyai kawalan serta kepentingan besar dalam banyak syarikat induk seperti SimeUEP (Sime Darby), Guthrie, TV3, Maybank, Consplant, Cold Storage dan Nestle Malaysia, di mana 10 peratus kepentingan dalam Nestle Malaysia hari ini dikatakan bernilai kira-kira RM3 bilion.

Selain itu, Daim mengesahkan memberi kenyataan kepada SPRM pada Februari tahun lalu, namun tidak mendengar khabar daripada agensi itu lagi hingga Jun 2023.

Pada masa sama, beliau mendakwa tiada tindakan dan siasatan dibuat terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, walaupun mereka dinamakan dalam Kertas Pandora.

Pada 23 Januari lalu, Na'imah Abdul Khalid didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, atas satu pertuduhan gagal mematuhi notis SPRM dengan tidak mengisytiharkan 12 aset harta antaranya di ibu negara dan Pulau Pinang, Disember tahun lalu.

Daim pula didakwa pada 29 Januari, di mahkamah sama atas tuduhan serupa iaitu mengisytiharkan 70 aset hartanya dan satu bank akaun, bagi tempoh masa sama.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28