'Kami terpaksa ikat perut, bekalan makanan terputus'

Suahana (tengah) bersama Nur Alisha Umairah (kiri) dan anak-anaknya selepas menerima sumbangan disampaikan Mas Imran (kanan) di rumahnya di Taman Sinaran, Kempas, Johor Bahru pada Rabu.
Suahana (tengah) bersama Nur Alisha Umairah (kiri) dan anak-anaknya selepas menerima sumbangan disampaikan Mas Imran (kanan) di rumahnya di Taman Sinaran, Kempas, Johor Bahru pada Rabu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Kemeriahan dan keriuhan anak-anak meminta pelbagai juadah hanya tinggal kenangan indah bagi suri rumah, Suhana Zainal, 29, yang tinggal di Taman Sinaran Kempas di sini.

Ini kerana keluarganya sekarang ini hidup dalam serba kekurangan ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang selepas anak keduanya, Nur Alisha Umairah Mohd Romzan, 5, menghidap leukemia sejak Julai lalu.

Ibu kepada empat cahaya mata itu berkata, sejak Nur Alisha Umairah sakit mereka sekeluarga terpaksa mengikat perut malah sudah mula terputus bekalan makanan.

"Ketika terputus bekalan makanan beberapa hari lalu, kami terpaksa meminta bantuan jiran untuk mendapatkan sedikit beras supaya anak-anak tidak kelaparan.

"Pendapatan bulanan suami, Mohd Romzan Ramli, 44, yang merupakan pekerja kontrak sebanyak RM1,000 tidak cukup kerana perlu mengutamakan kos rawatan dan keperluan Nur Alisha Umairah yang didiagnos selepas menghidapi leukemia," katanya.

Suhana berkata demikian ketika ditemui selepas menerima sumbangan bernilai RM1,000 disampaikan Pengurus Besar Pasaraya Econsave, Mas Imran Adam di kediamannya pada Rabu.

Dia berkata, Nur Alisha Umairah masih menjalani rawatan kemoterapi di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini selain bergantung dengan ubat bagi meneruskan kehidupan.

Setiap kali menjalani rawatan kemoterapi katanya, keluarganya terpaksa menyediakan wang RM200 termasuk bagi menampung kos pengangkutan ke hospital selain Nur Alisha Umairah juga bergantung dengan susu khas disyorkan doktor.

Artikel Berkaitan:

"Nur Alisha Umairah dijadualkan untuk menjalani lebih 10 kitaran sesi rawatan kemoterapi dan kini hospital umpama menjadi rumah kedua kami kerana kami kerap berulang-alik ke situ.

"Berikutan kekurangan sumber kewangan, kami hanya makan apa yang ada dan makanan sedap yang saya selalu masak untuk anak adalah nasi goreng," katanya.

Suhana berkata, sehingga kini keluarganya juga tidak membuat sebarang persiapan menjelang Ramadan.

"Kami tidak fikir lagi soal menyambut Aidilfitri kerana tumpuan utama kami adalah rawatan dan penyembuhan Nur Alisha Umairah.

"Suami sedang berusaha mencari pekerjaan tetap dan diharap dapat menarik taraf kehidupan keluarga," ujarnya.

Keluarganya kata Suhana, sedang berusaha memohon bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) untuk meringankan beban keluarga.

Sementara itu, Mas Imran berkata, sumbangan tersebut merupakan barangan keperluan harian bagi meringankan beban keluarga berkenaan.

Orang ramai boleh menyalurkan sumbangan kepada keluarga Suhana menerusi akaun Maybank Romzan 151623064684.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!<