Johor perkasa sektor pertanian, jamin bekalan makanan

Zahari
Zahari
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Agenda jaminan bekalan makanan negeri Johor akan terus diberikan penekanan (tumpuan), dalam memperkasakan sektor pertanian ke arah yang lebih tinggi.

Menurut Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar, Datuk Zahari Sarip, berdasarkan Jabatan Perangkaan Malaysia, pada tahun 2022, sektor pertanian di Johor merekodkan nilai pertambahan berjumlah RM17.3 bilion berbanding RM17.0 bilion pada tahun sebelumnya.

“Sektor pertanian merupakan penyumbang ketiga tertinggi kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Johor apabila menyumbang sebanyak 12.2 peratus pada tahun 2022 dan sekali gus ia merupakan penyumbang terbesar kepada sektor pertanian di Malaysia iaitu sebanyak 17.5 peratus.

“Dalam pada itu, subsektor tanaman mendominasi sektor pertanian di Johor dengan sumbangan 67.9 peratus, diikuti subsektor ternakan (25.4 peratus), dan perikanan (6.4%).

“Dari segi pencapaian pengeluaran Agromakanan Tahun 2022 mengikut subsektor dan komoditi fokus, kita berjaya meningkatkan sebanyak 22 peratus pengeluaran buah-buahan, perikanan akuakultur (17 peratus), penternakan ruminan (1.6 peratus) selain berjaya meningkatkan tahap nilai jualan pengusaha Industri Asas Tani (IAT) ke tahap yang lebih tinggi iaitu kepada seramai 451 orang usahawan,” katanya.

Zahari berkata demikian pada sesi penggulungan sempena Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor ke-5, di Kota Iskandar, pada Khamis.

Tambah Zahari, Kerajaan Negeri Johor menerusi 10 jabatan/agensi berkaitan telah melaksanakan 117 projek dengan peruntukan sebanyak RM53.93 juta daripada kerajaan negeri dan Persekutuan yang telah memberikan manfaat kepada 15,647 pengusaha agromakanan daripada subsektor tanaman, penternakan, perikanan serta industri asas tani dari seluruh negeri.

Katanya, antara jabatan/agensi pelaksana yang terlibat adalah Jabatan Pertanian, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Perikanan, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA).

Artikel Berkaitan:

“Pada 2024, kerajaan negeri seperti mana yang telah dibentangkan oleh Menteri Besar Johor dalam ucapan Belanjawan Negeri Johor 2024 akan memperuntukkan sebanyak RM26.1 juta bagi pembangunan sektor pertanian.

“Jumlah tersebut akan bertambah dengan bantuan dan sokongan oleh kerajaan Persekutuan menerusi pelbagai jabatan/agensi yang mana perinciannya akan dimuktamadkan sedikit masa lagi,” katanya.

Sementara itu Zahari berkata, dalam konteks tanaman sawah padi, pihak berkuasa negeri akan lebih tegas dalam usaha merealisasikan Johor sebagai ‘periuk nasi selatan.’

Katanya, infrastruktur dan pengurusan sawah juga sedang dipertingkatkan dari semasa ke semasa bagi mencapai sasaran bagi mendapatkan purata pengeluaran hasil padi sekurang-kurangnya 5 metrik tan/per hektar.

“Ketika ini kaedah penanaman padi menggunakan jentera transplanter juga merupakan inisiatif yang sedang dijalankan dan mula diperluaskan di negeri Johor kerana ia dapat meningkatkan kecekapan sistem penanaman padi pada masa kini dan membantu peningkatan hasil yang berkualiti selian menjimatkan kos penanaman secara berkelompok.

“Selain itu, bagi memastikan aktiviti penanaman sawah padi secara berkelompok berjalan lancar, pemuafakatan antara pesawah adalah sangat penting dan semua pesawah dinasihatkan agar mengikut dan mematuhi jadual masa penanaman yang dipersetujui,” katanya.