Sidang Kemuncak berakhir dengan deklarasi Melbourne

Albanese berucap pada Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia 2024.
Albanese berucap pada Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia 2024.
A
A
A

MELBOURNE - Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia 2024 berakhir hari ini dengan beberapa hasil dirumuskan terutamanya dalam bidang tumpuan utama seperti perniagaan, pemimpin-pemimpin baharu muncul, iklim dan tenaga bersih, serta kerjasama maritim.

Sidang kemuncak tiga hari itu yang bermula pada 4 Mac di Pusat Konvensyen dan Pameran Melbourne (MCEC), di sini, dihadiri semua anggota ASEAN kecuali Myanmar yang berdepan konflik berterusan di negara berkenaan.

Timor-Leste bagaimanapun menghadiri perhimpunan itu sebagai pemerhati.

Pada 2022, ASEAN pada dasarnya bersetuju untuk menerima Timor-Leste sebagai anggota ASEAN ke-11 dan menerima pakai pelan hala tuju untuk keahlian penuh Timor-Leste.

Sidang kemuncak khas itu menawarkan peluang kepada pemimpin-pemimpin ASEAN dan Australia untuk memperingati pencapaian besar dalam hubungan dialog ASEAN-Australia bagi tempoh lima dekad yang lalu dan melakar perjalanan untuk hubungan yang lebih mendalam bagi tempoh 50 tahun akan datang.

Dalam ucapan penutupnya, Perdana Menteri Laos Sonexay Siphandone yang juga pengerusi bersama sidang kemuncak itu berkata tahun ini menandakan 57 tahun penubuhan ASEAN dan memperingati ulang tahun ke-50 Hubungan Dialog ASEAN-Australia.

“Angka-angka ini mengesahkan bahawa Australia adalah rakan tertua dan paling rapat ASEAN, ia merupakan rakan dialog yang telah lama wujud dan paling penting, melibatkan diri dengan ASEAN sepanjang evolusinya.

“Selama bertahun-tahun, kerjasama ASEAN-Australia telah berkembang dan meluas secara konsisten, meliputi pelbagai bidang termasuk kerjasama politik, keselamatan, ekonomi serta sosial-budaya dan perkongsian ini memuncak dalam mengangkat hubungan rakan dialog kami menjadi Perkongsian Strategik Komprehensif pada 2021,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pengerusi Bersama dan Perdana Menteri Australia Anthony Albanese, dalam satu kenyataan media menegaskan komitmen Australia untuk menjadi rakan kongsi yang boleh dijadikan contoh kepada negara-negara Asia Tenggara.

“Kami akan terus konstruktif dan melibatkan diri dengan penuh rasa hormat, jujur dan boleh dipercayai, dan yang penting kami mendengar.

“Ekonomi ASEAN dan Australia sangat berkait rapat. Kami mahu memainkan peranan yang lebih besar dalam mengejar peluang-peluang ekonomi, pembangunan dan pertumbuhan di Asia Tenggara," kata Albanese.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28