Tak boleh pakai gincu bibir ketika puasa?

TERDAPAT segelintir orang masih keliru dengan hukum pemakaian gincu bibir ketika puasa. -Gambar hiasan/ Foto: Canva
TERDAPAT segelintir orang masih keliru dengan hukum pemakaian gincu bibir ketika puasa. -Gambar hiasan/ Foto: Canva
A
A
A

BAGI kebanyakan wanita, memakai gincu bibir sudah jadi kemestian buat mereka walaupun sekadar olesan tipis.

Tatkala Ramadan kian menghampiri, isu pemakaiannya menjadi tanda tanya ramai kerana ada pandangan mengatakan tidak boleh berbuat demikian.

Menerusi hantaran pendakwah Ustaz Mohamad Wadi Annuar Ayub atau lebih dikenali sebagai Ustaz Wadi Annuar dalam aplikasi X milik miliknya baru-baru ini, makruh hukumnya apabila seseorang memakai lipstick (gincu bibir) ketika berpuasa.

USTAZ WADI ANNUAR
USTAZ WADI ANNUAR

“Kalau terjilat lipstick dan tertelannya, maka batal puasa,” coretnya.

Bagaimanapun, apabila ada warga siber bertanyakan tentang pemakaian pelembap bibir atau lipbalm kerana keadaan bibir yang selalu kering dan merekah, berikut penjelasan penceramah terkemuka itu:

“Kalau bibir terlalu kering, tidak makruh pakai lip balm,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Merujuk kepada artikel yang disiarkan dalam Maktabah Albakri,bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menjelaskan, penggunaan gincu bibir pada siang hari Ramadan adalah tidak membatalkan puasa selagi mana ia tidak ditelan masuk ke dalam rongga.

DR ZULKIFLI
DR ZULKIFLI

“Jika sekadar terdapat ‘rasa’ pada bibir, maka ia tidak membatalkan puasa,” katanya.

Ia bersandarkan kepada fatwa Ibnu Abbas RA tentang merasa makanan yang mana beliau menyebut: “Tidak mengapa untuk merasa cuka atau yang lainnya, selagi tidak memasuki tekaknya dan dia sedang berpuasa.” (Riwayat Ibnu Abi Syaibah)

Menerusi pernyataan itu, Zulkifli menjelaskan, jika seseorang menelan (iaitu memasuki rongga) rasa yang terdapat pada gincu tersebut, maka perbuatan itu membatalkan puasa.

“Adapun, jika semata-mata terdapat ‘rasa’ pada bibir dari gincu yang dipakai itu, ia tidaklah membatalkan puasa melainkan dia menelannya selepas itu.

“Namun, suka kami tegaskan bahawa memakai gincu untuk memperlihatkan pada yang lain dalam keadaan berlebih-lebihan (tabarruj) adalah amat tidak digalakkan dalam Islam, tetapi dibenarkan jika sebagai berhias diri untuk suami,” ungkapnya.