Tidak mampu bayar fidyah, apa perlu dilakukan?

TERDAPAT segelintir orang tidak mampu membayar fidyah disebabkan kekangan tertentu seperti faktor ekonomi mahupun keuzuran dihadapi. -Gambar hiasan/ Foto: Canva
TERDAPAT segelintir orang tidak mampu membayar fidyah disebabkan kekangan tertentu seperti faktor ekonomi mahupun keuzuran dihadapi. -Gambar hiasan/ Foto: Canva
A
A
A

LEBIH kurang seminggu lagi umat Islam dijangka bakal berpuasa pada bulan Ramadan nanti.

Ketika ini, ramai juga yang mengambil peluang untuk membayar fidyah.

Bagi mereka yang kurang jelas, fidyah sebenarnya merujuk kepada denda dikenakan terhadap orang Islam yang baligh kerana meninggalkan puasa wajib atas sebab-sebab tertentu ataupun sengaja melewat-lewatkan puasa ganti bulan Ramadan.

Ia wajib disempurnakan mengikut bilangan hari yang ditinggalkan.

Bagaimanapun, bukan semua orang berkemampuan untuk membayar fidyah. Adakalanya mereka menghadapi kekakangan tertentu.

Antaranya disebabkan keadaan ekononomi yang sukar. Pada masa sama, seseorang juga tidak mampu berpuasa mahupun menggantikan puasanya kerana kekangan seperti sakit tua atau kronik.

Menjawab tentang kemusykilan itu, pendakwah Ustazah Asma’ Harun menjelaskan, para ulama membahaskan perkara itu kepada dua pandangan.

Artikel Berkaitan:

USTAZAH ASMA'
USTAZAH ASMA'

Berikut perinciannya:

1. Pandangan pertama: Sebahagian mazhab Syafi’iyyah dan Hanabilah.

- Tidak gugur kewajipan fidyah.

2. Pandangan kedua: Mazhab Hanafiah, sebahagian Syafi’iyyah dan Hanabilah.

- Gugur fidyah bagi orang yang tidak berkemampuan.

Bagi memudahkan kita memahaminya, Asma’ kemudian menyimpulkan, tidak diwajibkan untuk membayar fidyah puasa bagi golongan yang tidak berkemampuan berbuat demikian kerana susah dan miskin, sekalipun individu berkenaan ditakdirkan sudah sembuh atau telah senang.

“Ini kerana kewajipan fidyah yang dikenakan bukan kerana kaffarah dosa, tetapi disebabkan keadaannya yang tidak mampu pada saat wujud sebab taklif (tidak mampu ketika diberikan tanggungjawab).

“Namun, mereka dibolehkan untuk mengqadakan puasa yang telah ditinggalkan,” katanya sebagaimana dipetik menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.