Permohonan kos tambahan LRA Kedah: Kerajaan kaji punca kelewatan

Saifuddin Nasution (duduk, dua kanan) pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan JPKKP Kedah di Anak Bukit, Alor Setar pada Rabu.
Saifuddin Nasution (duduk, dua kanan) pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan JPKKP Kedah di Anak Bukit, Alor Setar pada Rabu.
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan akan menjalankan analisis sebelum memutuskan kos tambahan seperti yang dimohon kerajaan negeri Kedah bagi menyiapkan pembinaan loji rawatan air (LRA) yang lewat di negeri itu.

Pengerusi Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Kedah, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara tersebut akan dibincangkan bersama Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri negeri untuk melihat secara menyeluruh.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, kerajaan Pusat juga akan meneliti faktor lain yang mungkin menyumbang kepada kelewatan projek LRA Kedah.

“Adakah ia semata-mata disebabkan oleh bahan binaan, atau ada isu lain?

"Sebelum kami mempertimbangkan cadangan untuk meningkatkan kos dan menyesuaikan bajet dengan sewajarnya, keputusan kami akan berdasarkan pada analisis punca di sebalik kelewatan itu," katanya pada sidang media, Rabu.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKKP) Kedah di Anak Bukit di sini.

Jelas Saifuddin, kerajaan Pusat perlu melihat secara menyeluruh kerana kemungkinan terdapat faktor selain kos yang menyebabkan projek itu gagal disiapkan pada masanya.

"Jika kita selesaikan isu dengan kos tetapi faktor lain masih tidak ditangani, ia tidak akan menyelesaikan masalah. Justeru, kita perlu melihat keadaan secara keseluruhan, dan saya akan mulakan dengan membincangkan perkara ini dengan pengarah ICU negeri," ujar beliau.

Artikel Berkaitan:

Pada 7 Februari lalu, kerajaan Persekutuan diminta menyegerakan kelulusan permohonan kos tambahan bagi membina LRA supaya ia dapat disiapkan mengikut jadual.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, ia berikutan kos kontraktor meningkat berkali ganda susulan berlaku kenaikan harga bahan binaan selepas tender dikeluarkan.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan kemajuan projek menjadi sedikit perlahan akibat masalah kewangan kontraktor yang dilantik.

“Selepas tender dibuka pada 2020 dan dinilai oleh jawatankuasa tender, dibawa ke peringkat Persekutuan sama ada pinjaman atau geran untuk dapatkan kebenaran Persekutuan sebelum keputusan akhir.

“Kontraktor yang berjaya dalam tender bukan lantikan terus, ia dipilih melalui proses yang dikehendaki oleh kaedah perolehan.

“Selepas tender dianugerahkan, berlaku peningkatan harga bahan binaan antara 40 hingga 70 peratus menyebabkan kos pembinaan LRA meningkat puluhan juta,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!