Kedah bina lebih banyak rumah bertingkat untuk penduduk miskin

Muhammad Sanusi di persidangan DUN Kedah pada Rabu.
Muhammad Sanusi di persidangan DUN Kedah pada Rabu.
A
A
A

ALOR SETAR - Kedah akan membina lebih banyak rumah bertingkat untuk penduduk miskin dalam bandar bagi mengatasi masalah kediaman tidak mencukupi.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, tumpuan diberikan kepada bandar-bandar utama di Alor Setar, Sungai Petani, Kubang Pasu dan Kulim.

Menurutnya, kerajaan negeri akan mencari tanah bersesuaian untuk menyediakan kediaman bertingkat berbanding taman perumahan yang memerlukan keluasan tanah berikutan negeri ini berdepan kekangan tanah untuk dibangunkan.

“Dalam bandar, kita ada kediaman orang Melayu khususnya yang tinggal di pinggir sungai, rizab jalan atau tanah kerajaan.

“Saya dah bincang dengan beberapa pegawai daerah untuk sediakan lot kediaman, namun saya sarankan bina rumah bertingkat sebab jika bina rumah atas tanah (perumahan) tak dapat penuhi permintaan ramai,” katanya di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Dr Mohd Hayati Othman (Pas-Tokai) yang bertanyakan mengenai perancangan negeri menyediakan kediaman kepada penduduk dalam bandar.

Sanusi berkata, bandar-bandar utama berkenaan mengalami ketidakcukupan tanah untuk dibangunkan kediaman susulan kepesatan sektor industri dan pembangunan.

“Ia antara tekanan kepada kerajaan negeri dalam menawarkan kediaman kepada penduduk. Jadi kita perlu semai budaya menetap rumah bertingkat kepada rakyat, dan kita juga akan sediakan kemudahan asas.

Artikel Berkaitan:

“Dalam tempoh yang ada ini, kita usahakan untuk sediakan rumah kepada penduduk miskin bandar. Orang Melayu tak perlu keluar dari bandar bila kita tawarkan rumah bertingkat, supaya berlaku keseimbangan dan keharmonian kaum,” ujarnya.

Menurutnya lagi, pembinaan rumah bertingkat tidak dapat dielakkan berikutan rakyat Kedah semakin bertambah, selain tanah terhad serta bertembung dengan kepentingan untuk kediaman, industri dan pertanian.

“Antara dasar Persekutuan, tanah milik Jabatan Perhutanan yang dicabut keluar hendaklah digantikan tetapi penggantian belum dibuat kerana ketiadaan tanah kerajaan untuk diluluskan.

“Inisiatif lain, kita putuskan untuk memproses tanah untuk dijadikan kampung tersusun supaya tekanan kepada keperluan tanah diurus dengan baik dan dinikmati lebih ramai,” katanya.

Sanusi memaklumkan, Pejabat Tanah dan Galian (PTG) telah memperincikan peraturan untuk memulakan kutipan cukai strata rumah bertingkat dan ia menyumbang kepada hasil baharu negeri.

“Rezab sungai perlu dikosongkan menjelang beberapa tahun akan datang, perlu sediakan kediaman baharu dahulu sebelum bagi laluan kepada pengosongan rezab untuk elak banjir akibat perubahan cuaca dunia,” jelasnya.

Menurutnya, jumlah keseluruhan permohonan tanah yang diluluskan pemilikan (2020-2023) ialah 803 plot, melebihi 326 hektar dengan nilai premium mencecah RM2.14 juta.

“Setakat ini, tanah yang disediakan untuk kediaman sebanyak 930 lot sedang diproses oleh pejabat daerah,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!