Pekerja pembersihan mengaku salah kemuka dokumen palsu mohon PPRT

Tertuduh (tengah) mengaku bersalah menggunakan dokumen palsu bagi permohonan bantuan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) bernilai RM50,000 lima tahun lalu.
Tertuduh (tengah) mengaku bersalah menggunakan dokumen palsu bagi permohonan bantuan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) bernilai RM50,000 lima tahun lalu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki didenda RM4,000 selepas mengaku bersalah menggunakan dokumen palsu bagi permohonan bantuan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) bernilai RM50,000 lima tahun lalu.

Tertuduh, Yushafiszam Yusof, 33, yang juga pekerja pembersihan (housekeeper) syarikat luar pesisir membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Mohd Azhar Othman di Mahkmah Sesyen di sini pada Rabu.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dihukum penjara selama dua bulan sekiranya gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, Yushafiszam dengan curangnya telah menggunakan sebagai tulen satu dokumen iaitu Borang Permohonan PPRT, Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR) bagi membuat permohonan bantuan bina rumah baru di bawah Projek Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung (PROSPEK).

Kesalahan itu didakwa dilakukan sekitar Mei 2019 di Kampung Talong, Dungun.

Dengan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan (KK) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh (tengah) ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Kuala Terengganu pada Rabu.
Tertuduh (tengah) ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Kuala Terengganu pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Ketika prosiding, peguam Mohd Kamaruzaman A Wahab yang mewakili tertuduh memohon anak guamnya dielakkan penjara dan dikenakan denda yang minimum kerana berpendapatan rendah antara RM1,000 hingga RM3,000 sebulan selain pengakuan bersalahnya telah menjimatkan masa mahkamah.

Timbalan Pendakwa Raya, Mariah Omar dalam hujahnya pula berkata, kesalahan dilakukan tertuduh merupakan kesalahan serius kerana melibatkan dana awam dan boleh menafikan hak penerima bantuan lain yang layak.

Beliau turut memohon agar hukuman setimpal diberikan supaya boleh dijadikan pengajaran kepada tertuduh dan individu lain.

Sementara itu, Mohd Azhar sebelum menjatuhi hukuman itu berkata, kesalahan dilakukan tertuduh telah menyebabkan bantuan kerajaan gagal diterima golongan yang sepatutnya.

"Kalau tidak dibendung, bantuan kerajaan ini tidak akan sampai kepada kumpulan sasaran.

"Oleh itu, mahkamah berpandangan satu hukuman yang setimpal wajar dikenakan dan berdoa kepada ALLAH SWT agar hukuman ini boleh menjadi pengajaran kepada kamu dan orang lain agar tidak melakukan perkara yang sama," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!