Kempen galak kaum Cina sertai Perkhidmatan Awam

semasa kempen berlangsung penjawat awam Cina akan berkongsi pengalaman kerja dengan mereka yang berminat untuk menjadi sebahagian daripada kakitangan awam. - Gambar hiasan 123RF (Gambar kecil: Chan Ming Kai)
semasa kempen berlangsung penjawat awam Cina akan berkongsi pengalaman kerja dengan mereka yang berminat untuk menjadi sebahagian daripada kakitangan awam. - Gambar hiasan 123RF (Gambar kecil: Chan Ming Kai)
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kempen menggalakkan lebih ramai kaum Cina untuk menyertai perkhidmatan awam akan diadakan di seluruh negara bermula di Melaka Ahad ini.

Memetik laporan Sin Chew Daily, Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Chan Ming Kai berkata, kempen itu diadakan berikutan jumlah kaum Cina yang berminat untuk menjadi penjawat awam rendah.

Katanya, semasa kempen itu berlangsung penjawat awam Cina akan berkongsi pengalaman kerja dengan mereka yang berminat untuk menjadi sebahagian daripada kakitangan awam.

"Kempen itu dianjurkan bersama oleh pejabat setiausaha politik Perdana Menteri dan Media Chinese International Limited.

"Ia diadakan di seluruh negara antaranya di Kuantan pada 16 Mac, diikuti Petaling Jaya, Segamat, Muar, Johor Bahru, Pontian, Kluang, Ipoh, Taiping, Teluk Intan, Butterworth dan Kangar.

"Jika tiada apa yang dilakukan, keadaan akan menjadi lebih teruk," ujarnya.

Tambah beliau, berdasarkan pengambilan terkini penjawat awam oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) seramai 17,386 warga Cina memohon jawatan dan 4,285 telah disenarai pendek untuk temu duga.

"Daripada 4,285 pemohon, 3,708 telah menghadiri temu duga dan 1,634 akhirnya diambil.

Artikel Berkaitan:

"Kadar pengambilan untuk pemohon Cina yang disenarai pendek adalah 44.1 peratus, lebih rendah sedikit daripada India pada 44.2 peratus,"jelasnya.

Beliau memberitahu, bagaimanapun, ia jauh lebih tinggi daripada kadar pengambilan orang Melayu iaitu 13.8 peratus.

"Pada masa ini, jawatan tertinggi yang disandang oleh orang Cina dalam perkhidmatan awam ialah Chua Choon Hwa, Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat.

"Bekas ketua polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin yang baru dinaikkan pangkat sebagai pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman adalah seorang lagi orang Cina yang memegang jawatan kanan awam," katanya.