Ringgit rendah berbanding dolar AS dalam dagangan awal

Gambar hiasan. Foto 123RF
Gambar hiasan. Foto 123RF
A
A
A

RINGGIT dibuka rendah berbanding dolar AS hari ini berikutan pelabur berhati-hati dengan penilaian terkini oleh Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) mengenai keadaan ekonomi, kata penganalisis.

Pada 9 pagi, ringgit susut kepada 4.7350/7400 berbanding dolar AS daripada 4.7325/7380 semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, Fed dijangka meneruskan pelan mereka, mengekalkan kadar yang tinggi untuk suatu tempoh bagi mereka mendorong kadar inflasi ke arah matlamat dua peratus.

Beliau berkata, terdapat sentimen penghindaran risiko pada masa ini dengan ekuiti penanda aras dalam pasaran AS merosot dengan cepat malam tadi menjelang kenyataan pengerusi Fed kepada Kongres AS esok.

"Bagi ringgit, perhatian juga akan tertumpu kepada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) apabila mereka akan membuat keputusan esok. Kadar OPR dijangka kekal stabil pada 3.00 peratus,” katanya.

Bagaimanapun katanya, ia adalah mengenai cara ahli MPC melihat ekonomi, terutamanya mengenai prospek inflasi, mengambil kira perubahan dasar berkaitan cukai dan mata wang yang rendah.

"Oleh itu, ringgit dijangka berada dalam jajaran kecil pada RM4.72 hingga RM4.73 hari ini,” katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Artikel Berkaitan:

Mata wang tempatan merosot berbanding pound kepada 6.0116/0179 daripada 6.0027/0097 pada Selasa, susut berbanding euro kepada 5.1370/1424 daripada 5.1348/1407 dan rendah berbanding yen Jepun kepada 3.1562/1598 daripada 3.1466/1505 sebelum ini.

Pada masa yang sama, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang ASEAN lain.

Ia tinggi berbanding baht Thailand kepada 13.2060/2254 daripada 13.2119/2320 pada Selasa, bagaimanapun merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.5249/5289 daripada 3.5209/5253, susut berbanding rupiah Indonesia kepada 300.2/300.6 daripada 300.0/300.5 dan berkurangan berbanding peso Filipina kepada 8.46/8.47 daripada 8.45/8.47 semalam. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28