Tidur bertukar kepada lena yang panjang

Lelaki, wanita ditemui mati dalam kereta di parkir stesen minyak di Jalan Segamat-Kuantan dekat Muadzam Shah, Rompin.
Lelaki, wanita ditemui mati dalam kereta di parkir stesen minyak di Jalan Segamat-Kuantan dekat Muadzam Shah, Rompin.
A
A
A

PADA 20 Februari lalu, kita dikejutkan dengan kejadian seorang wanita ditemui meninggal dunia di dalam kereta berkunci di kawasan parkir hadapan Klinik Pakar, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.

Siasatan polis mendapati mangsa menjaga bapanya yang sakit dan dipercayai tertidur selepas masuk ke dalam kereta untuk berehat tanpa membuka cermin kereta.

Tujuh hari selepas itu, seorang lelaki dan wanita pula ditemukan meninggal dunia di dalam sebuah kereta berkunci di kawasan parkir sebuah stesen minyak di Jalan Segamat-Kuantan dekat Muadzam Shah, Rompin.

Polis mengesahkan kematian lelaki dan wanita itu tidak melibatkan unsur jenayah.

Ini antara sorotan kejadian mangsa maut di dalam kereta sama ada ditinggalkan, mahu berehat atau apa jua sebab yang hanya mangsa mengetahuinya.

Sebelum ini pun, banyak kes dilaporkan berkaitan kematian berpunca tidur di dalam kereta.

Penulis pernah bertanyakan kepada seorang rakan yang bekerja di bengkel kenderaan yang kemudian berkongsi tentang risiko tertidur di dalam kereta. Antara perkara diterangkan rakan penulis itu ialah berkaitan kegagalan sistem ekzos kenderaan.

Potensi ekzos bocor boleh menyebabkan asap masuk ke dalam kabin kenderaan. Jika kita sedang tidur di dalam kereta pada masa itu, ia mengurangkan tahap oksigen di dalam kereta. Paras oksigen berkurang menyebabkan seseorang itu sesak nafas sehingga lemas.

Artikel Berkaitan:

Rakan penulis turut memberitahu, satu lagi mitos salah orang ramai berkaitan tindakan membuka tingkap kereta kononnya untuk mewujudkan sistem pengudaraan yang mencukupi di dalam kereta.

Sebenarnya walaupun dengan tingkap kereta terbuka, karbon monoksida tetap akan berkumpul, cuma di paras yang sedikit rendah. Ia tetap mendatangkan risiko lemas kepada sesiapa pun yang tidur di dalam kereta.

Menurut MyHEALTH, karbon monoksida ini akan meresap ke dalam saluran darah apabila dihidu dan bergabung dengan hemoglobin iaitu molekul yang berperanan membawa oksigen ke seluruh badan.

Gabungan oksigen dengan hemoglobin dipanggil oxyhaemoglobin dan karbon monoksida dengan hemoglobin dipanggil carboxyhaemoglobin.

Jika kandungan karbon monoksida dan oksigen sama di dalam badan, hemoglobin lebih tertarik untuk bergabung dengan karbon monoksida. Apabila semakin banyak karbon monoksida bergabung dengan hemoglobin, maka kandungan oksigen dalam tisu badan berkurang yang menyebabkan seseorang itu boleh mati disebabkan oleh sesak nafas.

Difahamkan, 90 peratus simptomnya adalah rasa pening, letih, kabur pandangan yang kemudiannya membunuh mangsa secara senyap.

Tempat lebih sesuai

Bagi mengelakkan berlakunya kematian dalam kereta ini, sebenarnya kita boleh mengambil inisiatif mencari tempat rehat yang lebih terbuka. Misalnya, jika kita melakukan perjalanan jarak jauh, boleh berehat sebentar di kawasan rehat dan rawat (RnR) disediakan di lebuh raya.

Kita juga boleh singgah sebentar di masjid atau surau untuk berehat dan menyegarkan kembali tubuh badan.

Boleh juga singgah sebentar di kedai makan sambil menghirup kopi O panas untuk melegakan badan daripada kepenatan.

Selain itu, penulis turut setuju dengan inisiatif Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mewujudkan Anjung Kasih Yayasan Kebajikan Negara (YKN) di hospital kerajaan.

Anjung Kasih YKN ialah tempat penginapan sementara untuk golongan yang memerlukan, khususnya keluarga atau waris pesakit yang tidak berkemampuan menyewa bilik hotel ketika mengiring atau menjaga pesakit di hospital kerajaan.

Inisiatif ini amat baik sekali untuk dilaksanakan bagi mengelakkan kejadian kehilangan nyawa di dalam kereta kerana kepenatan menjaga pesakit di hospital tidak berulang.

* Megat Abdul Halim Megat Mohd ialah Penyunting Sinar Harian

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!