Siasatan kes Abdul Hadi diselesaikan segera - KPN

Tan Sri Razarudin Husain
Tan Sri Razarudin Husain
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis mengesahkan telah merakam keterangan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada Selasa bagi membantu siasatan berhubung kenyataan beliau bertajuk "Ketinggian Islam wajib dipertahankan" pada 20 Februari lepas.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kertas siasatan Ahli Parlimen Marang itu akan diselesaikan dalam kadar segera.

Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi Awang

"Kemudian kertas siasatan kami akan lengkapkan dan esok kami akan hantar ke Pejabat Jabatan Peguam Negara (AGC),” katanya secara ringkas melalui nota suara ketika dihubungi Bernama melalui aplikasi WhatsApp pada Selasa.

Terdahulu, dua pegawai dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman hadir bagi merakam keterangan Abdul Hadi padajam 2.19 petang di ibu pejabat parti berkenaan.

Tinjauan Bernama mendapati kedua-dua pegawai dilihat meninggalkan bangunan pada jam 3.18 petang setelah selesai merakam percakapan Ahli Parlimen Marang itu.

Sementara itu, Penolong Setiausaha Agung Pas, Mohd Syahir Che Sulaiman berkata, Abdul Hadi telah mengutuskan sebuah Warkah Menjunjung Kasih kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, semalam.

Bagaimanapun, beliau tidak mengulas lanjut mengenai kandungan warkah itu, katanya ketika ditemui media selepas pihak polis selesai merakam keterangan Abdul Hadi, di sini pada Selasa. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!