Kedah jadi destinasi pelaburan, raih RM105.03 bilion dalam tiga tahun

Haim Hilman pada persidangan DUN Kedah pada Selasa.
Haim Hilman pada persidangan DUN Kedah pada Selasa.
A
A
A

ALOR SETAR - Kedah menjadi destinasi pilihan apabila merekodkan pelaburan masuk sebanyak RM105.03 bilion dalam tempoh tiga tahun (2021-2023).

Exco Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi dan Sains, Teknologi dan Inovasi, Haim Hilman Abdullah berkata, kejayaan berkenaan adalah atas usaha pasukan pelaburan negeri selain komitmen negara terhadap situasi ekonomi dan geopolitik dunia.

Menurutnya, Kedah menggariskan beberapa strategi dan inisiatif dalam usaha menarik pelaburan sektor semikonduktor dan tenaga hijau khususnya dari China, Amerika Syarikat, Jepun dan Eropah.

“Antara strategi pelaburan termasuk memperhalusi pergerakan pasaran dan ramalan geopolitik kuasa besar dunia,” katanya ketika menjawab pertanyaan lisan Abdul Ghafar Saad (Bersatu-Guar Chempedak) berhubung misi pelaburan dan lawatan kerja ke China Januari lalu, di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada Selasa.

Haim Hilman berkata, terbaharu, delegasi pelaburan kerajaan negeri ke China untuk menerokai peluang pelaburan di negara itu pada Januari lalu.

“Misi delegasi pelaburan Kedah untuk menarik RM25 bilion pelaburan dalam tempoh dua hingga tiga tahun dalam bidang teknologi tenaga hijau.

“Kita berunding dengan lapan buah syarikat berpotensi dan mempromosi bukan sahaja Kulim High Tech Park (KHTP) dan Kulim Industrial Corridor, tetapi termasuk Kedah Science & Technology Park (KSTP) dan Zon Ekonomi Sempadan Khas (SBEZ) di Bukit Kayu Hitam. Lain-lain kawasan perindustrian dan destinasi pelaburan strategik di negeri ini juga dipromosikan,” ujarnya.

Menurutnya, syarikat-syarikat yang ditemui menunjukkan minat untuk melabur di Kedah dengan nilai pelaburan sekitar RM50 bilion.

Artikel Berkaitan:

“Empat wilayah, iaitu Jiangsu, Zhejiang, Guangdong dan Yunan dilawati, ia sebahagian daripada usaha kita memanfaatkan kesan daripada perang perdagangan antara Amerika Syarikat dan China.

“Perang dagangan tersebut dan kesannya, dunia hari ini dikuasai dua kuasa besar tersebut. Namun tidak dinafikan pengaruh dan blok mereka sedang membentuk 'order' baru dunia,” ujarnya.

Haim Hilman berkata, antara kesan perang dagangan ialah berlakunya aliran keluar pelaburan dari China dan Taiwan ke negara ketiga atau ke Amerika Syarikat sendiri.

“Malaysia atau Kedah turut mendapat manfaat besar kesan dari pergerakan ekosistem pelaburan dunia, syarikat besar dari Eropah antaranya AT&S (RM8.7 bilion - 2023), Amerika Syarikat seperti Intel (RM12.45 bilion - 2019 & 2023), Infineon dari Jerman (RM8 bilion - 2021), Risen Solar dari China (RM42.23 bilion - 2021) serta EVE dari China (RM4.1 bilion - 2023),” katanya.

Haim Hilman memaklumkan, kerajaan negeri akan terus melipat gandakan usaha meningkatkan promosi dan tahap kecekapan, kepantasan dan kesepaduan kerja sesama agensi sama ada di peringkat negeri mahupun Persekutuan.

“Kita perlu kerjasama bagi membolehkan kita merancang dan melaksanakan strategi dan inisiatif bagi memastikan Kedah menjadi destinasi pelaburan asing dan tempatan terbaik dalam negara dan di Asia Tenggara.

“Pencapaian pelaburan negeri yang membanggakan ini hasil kesepakatan dan kerjasama antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan,” jelasnya.

Menurutnya, pihaknya juga menghargai kerjasama baik diberikan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) kepada Kedah, khususnya sokongan insentif pelaburan selain keterbukaan agensi tersebut mendengar cadangan berkaitan pemerkasaan sektor pelaburan negeri.

“Agenda Pelan Pembangunan Kedah 2035 akan digiatkan ke arah mencapai The Greater Kedah melalui kemasukan pelaburan berkualiti dan bernilai tinggi.

“Penempatan syarikat multinasional (MNC) yang strategik di negeri ini antara langkah awal membolehkan ekosistem pelaburan Kedah berkembang bagi menyokong fasa seterusnya, iaitu fasa pembangunan syarikat tempatan ke arah menjadi pemain global yang juga sebahagian agenda The Greater Kedah,” jelasnya lagi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!