Kompaun jika sewa tapak bazar Ramadan pada warga asing

Peniaga yang didapati menyewakan tapak bazar Ramadan kepada warga asing berdepan tindakan tegas termasuk dikenakan kompaun oleh pihak berkuasa. Gambar hiasan, gambar kecil: Wan Sukairi
Peniaga yang didapati menyewakan tapak bazar Ramadan kepada warga asing berdepan tindakan tegas termasuk dikenakan kompaun oleh pihak berkuasa. Gambar hiasan, gambar kecil: Wan Sukairi
A
A
A

MARANG - Peniaga yang didapati menyewakan tapak bazar Ramadan kepada warga asing berdepan tindakan tegas termasuk dikenakan kompaun oleh pihak berkuasa.

Exco Kesihatan, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pihaknya tidak akan berkompromi kepada mereka yang melanggar peraturan tersebut.

"Kita akan ambil tindakan tegas terhadap mana-mana peniaga yang didapati menyewakan lot niaga mereka kepada warga asing.

"Tindakan perundangan pengeluaran notis kompaun boleh dikeluarkan pihak penguatkuasa KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) dan PBT (pihak berkuasa tempatan) di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009, Akta Makanan 1983, Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan Undang-Undang Kecil Penjaja," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerajaan Tempatan Dan Perumahan Negeri Terengganu Kali Pertama 2024 di Dewan Majlis Daerah Marang (MDM) di sini, pada Selasa.

Menurutnya, pada tahun ini sebanyak 55 lokasi bazar Ramadan akan beroperasi di seluruh Terengganu melibatkan seramai 4,086 peniaga.

Jelas beliau, sebanyak 12 tapak bazar akan beroperasi di Kuala Terengganu, Kuala Nerus (6), Kemaman (11), Dungun (5), Besut (8), Hulu Terengganu (4), Marang (5) dan Setiu (6).

Dalam pada itu, beliau berkata, beberapa tapak bazar Ramadan yang dikategorikan sebagai 'hotspot' di Terengganu akan dipantau antaranya Bazar Ramadan Dataran Syahbandar, Bazar Ramadan Jambatan Angkat (Drawbridge) dan Bazar Ramadan Batu Buruk.

Artikel Berkaitan:

Katanya, ia berikutan bazar tersebut antara yang menjadi tumpuan pengunjung serta pernah berdepan isu berkaitan kebersihan makanan.

"Kita akan pastikan semua pengendali makanan menjalani latihan pengendali makanan dan mendapat pemeriksaan kesihatan serta pelalian tifioid.

"Selain itu, kita turut menggalakkan peniaga untuk tidak menggunakan beg plastik dan penyedut minuman, larangan penggunaan bekas styrofoam dan menggalakkan program kitar semula sisa pepejal di bazar Ramadan," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!