Kerajaan cadang tambah penerbangan domestik ke Labuan

Dr Zaliha
Dr Zaliha
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan merancang untuk menambah kekerapan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Labuan sebagai satu daripada usaha mengembalikan kegemilangan ekonomi pulau bebas cukai itu sebagai kawasan pertumbuhan pelaburan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, cadangan itu adalah antara inisiatif yang sedang diteliti di bawah kajian Rancangan Struktur Labuan 2040 sebagai anjakan perubahan untuk merancakkan ekonomi setempat.

"Kami juga ingin meningkatkan kualiti perkhidmatan feri antara Sabah dan Labuan dengan menambah bilangan pengendali perkhidmatan feri dan juga kekerapan perjalanannya serta mengkaji keperluan menambah baik feri agar dapat memendekkan masa perjalanan.

"Selain itu kami akan membangunkan fasiliti kargo udara yang baharu secara berperingkat mengikut keperluan dan pemintaan semasa bagi menampung aktiviti kargo,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (PN-Labuan) yang ingin tahu sama ada kerajaan mempunyai pelan komprehensif untuk mengembalikan kegemilangan ekonomi Labuan selain daripada menyelesaikan isu bekalan air dan elektrik di pulau bebas cukai itu.

Menjawab soalan asal Suhaili mengenai masalah bekalan air dan elektrik serta status program yang akan diadakan di Labuan, Dr Zaliha berkata, pelbagai usaha untuk mempertingkat infrastruktur khususnya bekalan air dan elektrik telah dan sedang dijalankan melalui agensi berkaitan.

Beliau berkata, ini termasuk rancangan untuk membina stesen jana kuasa baharu yang berkapasiti 100 hingga 130 Megawatt (MW) yang mula beroperasi pada 2028 serta menaik taraf dan melaksanakan penggantian sistem bekalan bagi mengukuhkan bekalan elektrik sedia ada.

Selain itu, beliau berkata, projek peningkatan kapasiti penjanaan 10 MW Pencawang Pembahagi Utama Enoe juga telah di peringkat akhir projek dan dijangka siap penghujung bulan ini bagi mengukuhkan lagi bekalan elektrik.

Artikel Berkaitan:

Dalam konteks mengatasi masalah bekalan air, Dr Zaliha berkata, antara projek dilaksanakan ialah penggantian sistem pengepaman, peningkatan kapasiti simpanan air, penambahan takungan air mentah dan penggantian paip.

"Pada masa ini terdapat empat projek jangka pendek sedang dilaksanakan bernilai RM25 juta yang dijangka siap pada 2025, antaranya kerja-kerja penggantian sistem pam dan kerja-kerja berkaitan di Pulau Enoe serta kerja-kerja pembaikan kelengkapan mekanikal dan elektrikal di Bukit Kallam Kerupang Rumah Pam Arsat,” katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!