Lans koperal tidak mengaku salah 24 pertuduhan rasuah

Tertuduh (tengah) diiringi pegawai SPRM untuk membayar ikat jamin selepas keluar dari Mahkamah Sesyen Alor Setar pada Selasa.
Tertuduh (tengah) diiringi pegawai SPRM untuk membayar ikat jamin selepas keluar dari Mahkamah Sesyen Alor Setar pada Selasa.
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang anggota polis berpangkat lans koperal dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini atas 24 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM9,600 antara tahun 2017 hingga 2018.

Walau bagaimanapun, Mohd Azlan Iswan, 35, membuat pengakuan tidak bersalah atas semua tuduhan yang dibacakan dua jurubahasa di hadapan Hakim N Priscilla Hemamalini pada Selasa.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh yang bertugas di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sik itu didakwa menerima wang RM400 melalui 24 transaksi di sebuah bank di Sungai Petani.

Wang berkenaan diterima daripada seorang penyelia sebuah syarikat melalui akaun simpanan milik tertuduh dari 3 Januari 2017 hingga 4 Disember 2018.

Dia didakwa dalam keadaan mengetahui syarikat terbabit mempunyai hubungan dengan kerja rasminya melibatkan penugasan penguatkuasaan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 terhadap lori-lori milik syarikat itu.

Semua pertuduhan didakwa di bawah Seskyen 165 Kanun Keseksaan dan boleh dikenakan hukuman penjara yang boleh sampai dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Noor Azura Zulkiflee dan Afiqa Liyana Rozman memohon mahkamah menawarkan ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin termasuk melaporkan diri kepada agensi tersebut pada setiap bulan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam pula memohon agar mahkamah memberikan jaminan paling rendah kerana sedang menanggung kedua ibu bapa dan seorang adik selain hanya berpendapatan kira-kira RM1,000 setelah ditolak komitmen bulanan.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah kemudian menetapkan ikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkan tertuduh melaporkan diri setiap bulan di SPRM.

Kes akan disebut semula pada 2 April depan bagi serahan dokumen dan lantikan peguam dan tertuduh membayar jaminan berkenaan.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28