Kunjungi MATTA Fair Perak elak penipuan ejen pelancongan

Wendy (tiga dari kiri) bersama ahli jawatankuasa MATTA Cawangan Perak mempromosikan MATTA Fair Perak ke-32 ketika sidang akhbar di Pejabat MATTA Cawangan Perak di sini pada Selasa.
Wendy (tiga dari kiri) bersama ahli jawatankuasa MATTA Cawangan Perak mempromosikan MATTA Fair Perak ke-32 ketika sidang akhbar di Pejabat MATTA Cawangan Perak di sini pada Selasa.
A
A
A

IPOH - Orang ramai disaran mengunjungi Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair) Perak ke-32 yang akan berlangsung pada 9 dan 10 Mac ini bagi mendapatkan maklumat tepat mengenai pakej-pakej pelancongan.

Pengerusi MATTA Fair Perak, Wendy Shin berkata, sebanyak 33 pemain industri pelancongan yang berdaftar akan menyertai pameran kali ini berlangsung di Pusat Konvensyen Ipoh (ICC) dengan 120 reruai disediakan untuk kunjungan pelanggan.

Menurutnya, pengunjung juga mempunyai banyak pilihan pakej daripada pelbagai agensi pelancongan berpengalaman yang mempunyai lesen daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

"Sejak akhir-akhir ini kita baca banyak insiden di media berlaku penipuan dan pakej-pakej mengelirukan daripada syarikat yang tidak mempunyai lesen MOTAC dan mereka juga bukan ahli MATTA.

"Jika datang ke MATTA Fair, kita akan pastikan semua pempamer berlesen oleh MOTAC dan ejen bertanggungjawab memastikan pakej yang dijual sah. Sangat penting untuk memilih ejen atau syarikat yang berlesen bagi mengelak penipuan," katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar di Pejabat MATTA Cawangan Perak di sini pada Selasa.

Wendy berkata, usaha penganjuran MATTA Fair itu juga bertujuan memulih serta merancakkan semula industri pelancongan di negara ini.

Katanya, susulan pengumuman kerajaan mengenai pengecualian visa kepada rakyat China dan India yang dipanjangkan sehingga 31 Disember ini, pihaknya akan turut mengambil peluang untuk memperhebatkan lagi pelancongan domestik.

Menurutnya, MATTA Fair juga menjadi pusat sehenti kepada orang ramai memilih destinasi percutian impian melalui operator pelancongan berlesen tanpa perlu bimbang.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut menyasarkan jualan sehingga RM23 juta sepanjang dua hari penganjuran selain pengunjung turut berpeluang menyertai cabutan bertuah dengan pembelian minimum RM300.

Dalam perkembangan berkaitan, MATTA Cawangan Perak juga sedia bekerjasama dengan kerajaan negeri Perak dan Tourism Perak dalam menjayakan Tahun Melawat Perak 2024.

Malah katanya, penganjuran MATTA Fair itu juga akan membantu menarik minat lebih ramai pelancong dari dalam dan luar negara untuk berkunjung ke Perak.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!