MH370: '10 tahun berlalu, orang ramai masih salahkan saya' - Azharuddin

Pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370 hilang tanpa jejak sebaik berlepas pada awal pagi, 8 Mac 2014 menuju Beijing.
Pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370 hilang tanpa jejak sebaik berlepas pada awal pagi, 8 Mac 2014 menuju Beijing.
A
A
A

KUALA LUMPUR - "Sepuluh tahun berlalu, orang ramai masih mempersoalkan dan menyalahkan saya berhubung kehilangan MH370," kata bekas Pengerusi Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman.

Membincangkan kehilangan pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370 itu yang terus membingungkan dunia, beliau menjawab tuduhan menyembunyikan maklumat mengenai kehilangan pesawat tersebut.

Pesawat itu hilang tanpa jejak sebaik berlepas pada awal pagi, 8 Mac 2014, menuju Beijing, mencetuskan misteri gobal yang masih belum dapat dijawab hingga ke hari ini.

Walaupun terdapat pelbagai andaian dan teori oleh pakar penerbangan, sehingga kini persoalan mengenai mengapa pesawat itu berpatah balik ke Semenanjung Malaysia, masih belum terjawab.

Beliau menyifatkan kehilangan 239 penumpang dan anak kapal dalam tragedi MH370, sebagai kes paling mencabar yang pernah dikendalikannya dan misteri penerbangan terbesar setakat ini.

Bagi keluarga yang kehilangan insan tersayang, kes itu yang masih belum ada penyelesaian sukar untuk difahami, menimbulkan beban bagi keluarga mangsa dan Azharuddin.

Beliau menyifatkan memori duka itu tetap membelenggunya selaku individu penting yang mengetuai dan menguruskan pencarian pesawat dalam tempoh yang sangat sukar.

CAAM sebelum ini, dikenali sebagai Jabatan Penerbangan Awam (DCA), menyelia operasi Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur dan Azharuddin mengetuai DCA ketika insiden tragis itu berlaku.

Artikel Berkaitan:

Azharuddin berkata, masyarakat masih ingin tahu dan sering bertanya kepadanya mengenai misi pencarian yang dijalankan.

Bagaimanapun, sesetengah keluarga masih tidak percaya kepada (CAAM) selepas sedekad, katanya dalam nada sedih.

"Setiap kali saya menghadiri majlis perkahwinan atau aktiviti surau, orang ramai akan bertanya kepada saya apa yang sebenarnya berlaku," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Orang ramai masih mempersoalkan, tiada kepastian

"Berdasarkan cara pesawat itu berpatah balik, terbang ke Pulau Pinang, Langkawi dan Sumatera, kemudian kembali semula, ia sudah pasti dikendalikan oleh juruterbang yang tahu apa yang dilakukannya dan individu yang pernah menerbangkan pesawat Boeing 777 kerana juruterbang mengikut jejak atau laluan penerbangan syarikat penerbangan komersial.

"Tetapi siapakah juruterbang itu, tiada siapa tahu. Adakah beliau Kapten Zaharie Ahmad Shah? Atau adakah individu lain? Sekiranya Zaharie, di manakah pembantu juruterbang?," jelasnya.

Beliau juga berkata, pesawat MH370 tidak mempunyai perlindungan seperti peralatan yang menghalang individu yang tidak berkenaan daripada mengawal pesawat itu.

Pesawat Malaysia Airlines yang membawa 239 penumpang dan kru meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada jam 12.41 pagi dan sepatutnya mendarat di Beijing pada hari yang sama, hilang dari skrin radar kira-kira dua jam selepas berlepas.

Dokumentari Netflix berdasarkan andaian

Berikutan itu, Netflix telah menyiarkan siri tiga episod bertajuk, MH370: The Plane that Disappeared yang ditayangkan pada Mac tahun lepas, menampilkan tiga teori termasuk konspirasi sensasi.

Menurut Azharuddin, teori yang dibentangkan berdasarkan andaian dan tidak boleh diterima.

"Saya sangat tidak berpuas hati dengan hasil siri itu sehingga saya menulis surat kepada mereka (penerbit) berhubung ketidakpuasan saya.

"Pada mulanya mereka memaklumkan penekanan siri itu adalah berhubung tema kesedihan dan mengadakan temu bual selama lapan jam dengan saya," katanya.

Dokumentari British itu meneroka tiga teori konspirasi yang cuba membongkar misteri menyelubungi kehilangan pesawat malang itu.

Adakah kita dapat menemukan MH370?

Susulan kehilangannya, operasi pencarian besar-besaran melibatkan beberapa negara telah dijalankan di selatan Lautan Hindi namun pesawat mahupun serpihannya tidak ditemukan.

Malaysia dan sebahagian syarikat antarabangsa telah menjalankan operasi pencarian yang meluas membabitkan 120,000 meter persegi lokasi pencarian melalui udara, permukaan laut dan dasar laut dalam usaha mengesan pesawat yang hilang itu.

Pada 4 Mac 2024, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyatakan kesediaan Malaysia untuk membuka semula siasatan kehilangan pesawat MH370 sekiranya terdapat bukti baharu dan kukuh.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook memberi jaminan bahawa kementeriannya komited untuk mendapatkan kelulusan Kabinet bagi memeterai kontrak baharu dengan Ocean Infinity untuk meneruskan pencarian pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370 itu.

Beliau berkata, sebaik selesai cadangan Ocean Infinity, Malaysia akan menghubungi kerajaan Australia untuk mendapatkan kerjasama negara itu, memudahkan untuk memulakan pencarian segera.

Ahli keluarga kepada mangsa MH370 masih berharap untuk penyelesaian dan walaupun ketidakpastian masih menyelubungi, mari kita terus optimis bahawa percubaan baharu ini akhirnya akan memberikan keadilan dan jawapan bagi 239 nyawa yang terkorban dan waris mereka yang masih bersedih. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28