Najib mengaku ada berhubung dengan Jho Low

Najib dan Jho Low
Najib dan Jho Low
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa beliau ada berhubung dengan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low 'beberapa kali' berkaitan operasi akaun peribadi AmBank beliau.

Najib, 67, menjawab beberapa soalan daripada Timbalan Pendakwa Raya ad hoc, Datuk V Sithambaram berhubung dengan perbualan dalam BlackBerry Messenger (BBM) antara pengurus perhubungan AmBank ketika itu Joanna Yu dan Jho Low pada tahun 2014 yang dilihat menunjukkan bahawa Jho Low terlibat dalam memastikan dana dalam akaun Najib sentiasa cukup.

Sithambaram membacakan perbualan antara Joanna Yu dan Jho Low berhubung jumlah baki dalam tiga akaun Najib dan perlu memastikan terdapat dana mencukupi untuk Najib mengeluarkan cek. Beliau turut merujukkan penyata bank yang selaras dengan akaun itu kepada Ahli Parlimen Pekan itu.

Penyata bank itu memaparkan pembelian peribadi berjumlah 763,500 Euro (RM3.28 juta) dibuat Najib di sebuah kedai barang kemas mewah Swiss di Itali.

Sithambaram: Ini jelas menunjukkan bahawa Jho Low memastikan anda mempunyai cukup wang untuk mengeluarkan cek. Adakah ini betul, tuan?

Najib: Ia kelihatan begitu.

Sithambaram: Adalah jelas bahawa Jho Low memastikan semua transaksi dapat dijalankan, betul tuan?

Najib: Ya.

Artikel Berkaitan:

Sithambaram: Dan daripada transaksi dan perbualan ini, Jho Low mengesahkan akaun kepada pihak bank untuk tujuan memastikan dana mencukupi untuk anda menggunakan kad kredit anda dan mengeluarkan cek, betul tuan?

Najib: Ya.

Sithambaram: Saya cadangkan kepada anda, perbualan BBM ini menunjukkan bahawa Jho Low pada beberapa waktu berhubung dengan anda, untuk memastikan kad dan cek boleh dikeluarkan.

Najib: Ia dibuat menerusi Datuk Azlin Alias ​​(bekas setiausaha peribadi utama Najib).

Sithambaram: Tetapi pada masa-masa tertentu dengan Jho Low?

Najib: Hanya beberapa kali. Beberapa kali sahaja.

Sithambaram: Beberapa kali, dia berhubung dengan anda?

Najib: Ya.

Semalam, Najib memberi keterangan bahawa beliau dimaklumkan tentang status akaun bank peribadinya kebanyakannya oleh Azlin dan kadang-kala oleh Ketua Pegawai Eksekutif SRC International Sdn Bhd Nik Faisal Ariff Kamil tetapi dengan Jho Low ia hanya untuk pengiriman wang membabitkan sumbangan Arab Saudi.

Najib bagaimanapun, tidak bersetuju bahawa beliau mempunyai pengetahuan sebenar tentang status tiga akaunnya pada setiap masa.

Sithambaram turut menyoal Najib tentang kenapa beliau menghalang bekas Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah daripada pergi ke Switzerland untuk mendapatkan wang yang dipinjam SRC International daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP).

Dalam jawapannya, Najib menegaskan bahawa permintaan daripada Ahmad Husni tidak dibuat secara rasmi.

Sithambaram: Anda bersetuju bahawa SRC, sebagai sebuah syarikat, memohon kepada kerajaan Switzerland untuk menarik balik pembekuan wang adalah tidak begitu berkesan seolah-olah kerajaan telah menghantar wakil untuk mendapatkan wang itu?

Najib: Itu boleh dibahaskan.

Sithambaram: Wang ini milik dana pencen kerajaan yang sah. Sekiranya menteri kewangan atau menteri kewangan kedua pergi, ia akan menjadi lebih berkesan. Saya tidak boleh bayangkan sebaliknya. Kenapa Ahmad Husni tidak boleh mengambilnya?

Najib: Ia akan lebih berkesan dengan perancangan yang betul.

Sithambaram: Adakah anda memberitahunya untuk membuat perancangan yang betul?

Najib: Saya tidak memberitahunya tetapi saya mahukan perancangan yang betul.

Sithambaram: Saya cadangkan kepada anda bahawa anda tidak mahu beliau pergi dan membawa balik dana itu.

Najib: Saya tidak bersetuju.

Najib juga memberi keterangan bahawa Kabinet tidak dirujuk apabila pinjaman kedua SRC International gagal kerana perkara itu sudah berada di bawah bidang kuasanya sebagai perdana menteri.

Najib membela diri terhadap tujuh pertuduhan menyelewengkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd, yang terdiri daripada tiga pertuduhan jenayah pecah amanah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya berkaitan dengan dana SRC.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung 20 Januari.

Hakim mengingatkan Najib untuk tidak membincangkan kes itu atau menyiarkan sebarang kenyataan di media sosial berhubung kes itu kerana beliau akan menyambung keterangan dan masih terikat dengan angkat sumpah. - Bernama