Elak situasi 'cukup-cukup makan'

Mendepani zaman ‘harga barang naik, tak ada yang turun’, sudah tiba masa kita meningkatkan literasi kewangan. Foto 123RF
Mendepani zaman ‘harga barang naik, tak ada yang turun’, sudah tiba masa kita meningkatkan literasi kewangan. Foto 123RF
A
A
A

KIRA-KIRA seminggu lagi umat Islam seluruh dunia bakal menjalani ibadah puasa, bulan Ramadan yang dijanjikan kerahmatan, keampunan dan dibuka pintu-pintu syurga.

Selain itu turut ‘dihadiahkan’ satu malam yang mana amalan kita akan digandakan seperti ibadah selama 1,000 bulan.

Namun bukan itu yang mahu dihuraikan dalam penulisan ini, cuma ingin berkongsi tentang keluhan rakan-rakan penulis menjelang bulan mulia itu.

Umum mengetahui sesi persekolahan bagi tahun 2024 akan bermula pada 10 Mac bagi sekolah di negeri kumpulan A (Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor) manakala kumpulan B (Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Wilayah Persekutuan Labuan, Putrajaya dan Kuala Lumpur) pada 11 Mac.

Ketika ini, ramai ibu bapa sudah mula membeli-belah barang keperluan anak-anak untuk ‘masuk’ sekolah, antaranya uniform, pakaian sukan, beg sekolah dan sebagainya.

Apa yang menarik perhatian penulis, ada dalam kalangan mereka yang merungut tentang harga tidak masuk akal bagi pakaian sekolah bagi saiz kanak-kanak.

Mana tidaknya, sepasang baju kurung sekolah rendah boleh mencecah RM60 manakala uniform lelaki pelajar sekolah menengah sehingga RM70.

Bajet itu untuk seorang anak, kalau ada tiga hingga lima orang anak yang bersekolah, pejam mata sajalah ketika membayar.

Artikel Berkaitan:

Baru-baru ini, seorang rakan penulis berkata, dia memperuntukkan sehingga RM1,800 untuk kelengkapan sekolah tiga anaknya.

Penjawat awam itu memaklumkan, sebanyak RM600 dibelanjakan untuk membeli baju sekolah dan kasut anak sulung berusia 16 tahun yang bersekolah asrama penuh.

Walaupun baru-baru ini ‘orang gomen’ dapat durian runtuh daripada kerajaan dengan bonus RM2,000, sudah mula terdengar keluhan ‘tak sempat bulan puasa dah habis duit bonus’.

Ada juga yang mengadu belum pun sampai bulan baharu, hampir separuh gaji sudah digunakan gara-gara anak akan mula persekolahan.

Malah ada yang terpaksa menangguhkan pembayaran komitmen seperti hutang kereta dan pinjaman rumah bulan ini selepas menyedari ‘lari bajet’ sebab menyediakan kelengkapan sekolah anak-anak.

Itu belum lagi perbelanjaan isi rumah di ibu kota. Baru-baru ini semasa tinjauan Sinar Harian, ramai yang mendakwa perbelanjaan mereka meningkat sehingga 50 peratus dan memerlukan sekurang-kurangnya RM500 sebulan untuk keperluan asas.

Melihat situasi ini, maka tidak hairanlah mengapa ramai pakar ekonomi dan kewangan menyarankan masyarakat berbelanja dengan berhemah bagi mengelakkan terjerat dengan hutang dan sebagainya.

Namun semua sedia maklum setiap kali tiba bulan Ramadan, keinginan berbelanja untuk menyambut Aidilfitri pula akan membuak-buak sehingga menyebabkan pembaziran pendapatan.

Dengan keadaan ekonomi yang masih memulih, pengguna perlu berfikir secara rasional sebelum membuat keputusan membeli sesuatu barangan yang bukan keperluan.

Kita tidak boleh terus menerus menyalahkan keadaan semasa mahupun kerajaan atas kenaikan harga barangan di pasaran.

Kerajaan juga sedaya upaya mengawal situasi itu, namun sebagai pengguna, kita juga harus bijak berbelanja.

Justeru bagi mendepani situasi sama setiap kali menjelang sesi persekolahan baharu, sambutan Ramadan atau perayaan, ada baiknya golongan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40) mewujudkan satu tabung khusus untuk merancang perbelanjaan selepas ini.

Mungkin perlu menyimpan RM50 atau lebih dalam sebulan untuk tempoh 12 bulan daripada sekarang sebagai ikhtiar bagi mengelakkan situasi ‘terputus’ sumber wang untuk memenuhi keperluan diri dan keluarga.

Mendepani zaman ‘harga barang naik, tak ada yang turun’, sudah tiba masa kita meningkatkan literasi kewangan bagi mengelak terperangkap dalam situasi ‘duit tak cukup atau cukup-cukup makan’ sehingga terpaksa tebal muka meminjam sana sini.

* Diana Azis adalah wartawan Sinar Harian

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28