Perlekeh Premier Sarawak, polis rakam keterangan Bozz Jebat

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis mengesahkan telah merakam keterangan Bozz Jebat atau nama sebenarnya Zool Amali Hussin bagi membantu siasatan ke atas 45 laporan polis berkaitan dakwaan menghina Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kuching telah memohon bantuan dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) untuk merakam percakapan bekas Ketua Pemuda UMNO Bahagian Seremban itu.

"Unit USJT telah menggunakan Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah IPD Cheras untuk merakam percakapan Zool Amali bermula dari 1.45 tengah hari sehingga 3.40 petang tadi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bozz Jebat didakwa telah mengeluarkan kenyataan biadap dengan merendah-rendahkan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg menerusi sebuah video berdurasi empat minit yang dimuat naik seorang individu di laman sosial, 29 Februari lepas.

Zam Halim berkata, kes berkenaan disiasat bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Terdahulu, media melaporkan laporan polis telah dibuat Setiausaha Politik Premier Sarawak, John Nyigor di Balai Polis Satok, Kuching terhadap 'Bozz Jebat' yang turut didakwa mengeluarkan kenyataan di dalam video itu seolah-olah Sarawak bukan sebahagian daripada Malaysia. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Artikel Berkaitan: